Search
Close this search box.
Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah diikat Sri Pahang FC 2-2 dalam perlawanan kedua saingan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, petang tadi. Foto Zul Azhar Sablee

Pertarungan sengit The Cats – Tok Gajah berakhir 2-2

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 19 Mei: Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah diikat Sri Pahang FC 2-2 dalam perlawanan kedua saingan Liga Super 2024 di Stadium Negeri Sarawak, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak itu bermula baik menerusi beberapa percubaan ke arah pintu gol lawan.

The Cats memperoleh peluang terbaik untuk mendahului pada minit keempat menerusi Nur Shamie Iszuan Amin selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kanan dari Tchetche Kipre, namun percubaannya sedikit tinggi melewati palang gol lawan.

Pada minit ke-17, Kuching City hampir berada di depan menerusi sepakan percuma yang disudahkan Jordan Mintah, namun percubaan itu berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan.

Asakan bertali arus Kuching City akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-18 hasil sepakan deras Tchetche Kipre di dalam kotak penalti selepas penjaga gol lawan menepis percubaan ‘bicycle kick’ oleh Jordan Mintah sebelum itu.

Selang seminit kemudian, Kipre sekali lagi hampir membocori gawang gol lawan menerusi serangan balas pantas namun percubaannya berjaya dipatahkan Zarif Ifran.

Tersentak dengan asakan tuan rumah, Sri Pahang bangkit melancarkan beberapa asakan ke arah kubu Kuching City dengan percubaan terbaik hadir pada minit ke-41 menerusi tandukan Kpah Sherman, namun ia tinggi melewati palang gol.

Ketika aksi babak pertama seakan-akan berakhir dengan keputusan 1-0, Jordan Mintah berjaya meledak gol kedua skuad The Cats apabila dengan mudah menanduk masuk bola hantaran lintang untuk gol kedua tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang cuba bangkit dengan melakukan beberapa serangan ke kubu tuan rumah menerusi Kpah Sherman yang hampir menjaringkan gol, namun berjaya dinafikan dengan ketangkasan penjaga gol Kuching City, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Kebuntuan gol berjaya dipecahkan Sri Pahang apabila merapatkan kedudukan menerusi gol tandukan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin pada minit ke-63 yang bijak menyempurnakan hantaran dari sepakan percuma Manuel Hidalgo.

Selang tiga minit kemudian, gawang gol Kuching City sekali lagi dibocori apabila kapten Sri Pahang, Stefano Brundo yang bijak memanfaatkan keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti tuan rumah untuk jaringan kedua.

Namun begitu, gol itu dibatalkan selepas pengadil, Tuan Mohd Yasin meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR) yang jelas memperlihatkan Stefano berada dalam keadaan ‘offside’

Pada minit ke-77, Manuel Hidalgo menghadiahkan gol penyamaan pasukan pelawat menerusi jaringan dari luar kotak penalti sekali gus menjadikan kedudukan terikat 2-2.

Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan