Search
Close this search box.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata suspek dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru pada Jumaat didapati bertindak sendirian. Foto fail TVS

Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram bertindak sendirian – Saifuddin Nasution

ByBernama

JOHOR BAHRU, 18 Mei: Suspek dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini semalam didapati bertindak sendirian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tindakan lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu tiada kaitan dengan kumpulan terancang berdasarkan kesimpulan awal pihak polis, selepas menemu bual 46 individu dalam profil terkait insiden berkenaan.

“Kita dapati buat peringkat awalan ini bahawa penyerang bertindak bersendirian, kita panggil lone wolf, dia didorong motivasi tertentu yang dia faham sebab dia tidak bercampur orang.

“Oleh itu, kita boleh buat kesimpulan awal daripada temu bual kita dengan individu yang kita panggil bahawa tindakan (serangan) itu berupa tindakan sendirian yang terpisah daripada satu misi besar ataupun satu kumpulan terancang… itu tiada,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Sementara itu tujuh individu yang ditahan semalam kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berumur lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi semalam.

Turut direman dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang meninggal dunia dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu dijangka dituntut waris hari ini untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Azza Fahmi akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor, Perak manakala Muhamad Syafiq disemadikan di Kuantan, Pahang.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan