Search
Close this search box.
Pasukan bola jaring Sarawak mendambakan pingat emas dalam Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) setelah kali terakhir merangkul kejuaraan di temasya sukan itu dalam edisi kelapannya di Pulau Pinang pada tahun 2000. Foto Bernama.

SUKMA 2024: Misi bola jaring Sarawak tamatkan kemarau pingat emas dua dekad

ByBernama

KUCHING, 17 Mei: Pasukan bola jaring Sarawak mendambakan pingat emas dalam Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) yang bakal berlangsung Ogos ini setelah kali terakhir merangkul kejuaraan di temasya sukan terbesar negara itu dalam edisi kelapannya di Pulau Pinang pada tahun 2000.

Pengurus pasukan bola jaring Sarawak Lau Siew Wei berkata beliau yakin dengan prestasi pemain kontinjen Sarawak yang semakin meningkat ketika ini berbanding ketika mula memimpin pasukan itu pada SUKMA 2018.

“Pasukan bola jaring tahun ini memang ada harapan yang tinggi untuk kita dapat pingat pada SUKMA ini sebab dari segi fizikal memang pasukan Sarawak punya atlet ada ketinggian terutamanya bahagian pertahanan dan penjaring… kami memang sasar sekurang-kurangnya empat pasukan terbaik sebab memang kami ‘dahagakan’ medal.

“Acara kali ini akan diadakan di Mukah dan dari segi persiapan, kami sudah buat decentralised training sebab semua pemain daripada bahagian-bahagian (Sarawak) yang berlainan. Maksudnya mereka akan buat latihan di bahagian masing-masing mengikut jurulatih masing-masing,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan itu di sini.

Beliau berkata bola jaring Sarawak telah menyepi dari SUKMA selama 10 tahun bermula 2008 dengan tidak menghantar pasukan untuk acara sukan itu sebelum membuat kemunculan semula di SUKMA 2018 di Perak.

Bagi menghadapi SUKMA XXI, Lau berkata setiap sebulan atau dua bulan, kesemua pemain akan dikumpulkan sama ada di Kuching atau Sibu untuk menjalani latihan secara berpusat, selain mencari titik keserasian dalam kalangan pemain.

Lau berkata sesi pemilihan untuk memuktamadkan barisan pemain dari seluruh negeri giat dilakukan secara berfasa sejak awal tahun lepas, dengan kesemua atlet berasal dari daerah Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Miri, Bintulu dan Kapit.

Pengurus pasukan itu berkata lapan daripada 12 pemain negeri merupakan muka baharu bagi SUKMA kali ini.

“Untuk pasukan Sarawak antara cabarannya adalah aspek kewangan sebab pemain berada di daerah berbeza dan jauh, jadi setiap kali ada latihan pusat atau kita kumpul untuk pergi perlawanan persahabatan – ia melibatkan kewangan yang banyak iaitu sekitar RM20,000 untuk kos makan, minum, pengangkutan dan tempat tinggal.

“Jadi saya memang berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sebab mereka bagi sokongan yang sepenuhnya untuk kami jalani latihan secara desentralisasi, termasuklah kejohanan di Semenanjung pun mereka beri sokongan penuh,” katanya.

Lau berkata sebagai persiapan menghadapi SUKMA, pasukan Sarawak akan turut mengadakan sesi latihan bersama pasukan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil serta beberapa perlawanan persahabatan di Johor dan Singapura.

Temasya kali ini yang diadakan di Bumi Kenyalang bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara – 236 acara lelaki, 227 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan