Search
Close this search box.
Gambar hiasan

Sarawak Energy rancang kembangkan perniagaan di luar Borneo

BANGKOK, 16 Mei: Syarikat utiliti elektrik milik kerajaan Sarawak, Sarawak Energy Bhd (SEB) menyasarkan untuk menjana 10,000 megawatt (MW) tenaga menjelang akhir 2030 dan mengembangkan perniagaan di luar Borneo.

Ketua Pegawai Operasi kumpulan James Ung Sing Kwong berkata Sarawak mempunyai sumber untuk mencapai sasaran berkenaan sama ada melalui hidrokuasa, biojisim, tenaga kitaran gabungan gas atau loji solar.

“Seterusnya, kita boleh memulakan perancangan untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan Sabah serta menyalurkan satu gigawatt (GW) ke Singapura menjelang 2032 melalui kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer, selain menyalurkan 190MW sedia ada ke Kalimantan barat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada pameran Future Energy Asia, Future Mobility Asia dan Future LNG Asia di Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit.

Menurutnya pada masa ini SEB mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 5,625MW sekali gus yakin mencapai sasarannya pada 2030.

Ung berkata projek terbaharu SEB adalah pembinaan projek hidrokuasa Empangan Baleh yang bermula pada September 2018 dengan kos kira-kira RM10 bilion.

“Pada masa ini, projek itu telah mencapai 40 peratus dan dijangka siap pada akhir 2029. Ia berupaya menghasilkan kira-kira 1,285MW,” katanya.

Beliau berkata rancangan untuk membekalkan tenaga kepada Singapura sedang dijalankan dan menerima sambutan amat positif.

“Kedua-dua kerajaan telah bersetuju, tetapi pada masa ini menunggu kelulusan daripada kerajaan Indonesia kerana kabel dasar laut akan melalui laut Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Ung berkata penyertaan SEB dalam Future Energy Asia adalah bertujuan mempromosikan jenama SEB serta mempelajari dan bertukar-tukar kepakaran mengenai teknologi baharu dengan negara Asia lain, terutama mengenai tenaga boleh baharu.

“Kami berhasrat meraih ilmu daripada negara jiran untuk kami mengetahui keperluan dan harapan mereka,” katanya.

Pada masa ini SEB menyediakan bekalan elektrik kepada kira-kira 3 juta rakyat Sarawak di kawasan bandar dan luar bandar. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan