Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Ilham Tuah Illias berkata hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan telah terjalin sejak 1992 dan hubungan kedua-dua negara kini semakin akrab.
Beliau berkata Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia yang terakhir melakukan lawatan ke Uzbekistan pada 2008.
“Kedua-dua negara berkongsi banyak perkara di forum-forum antarabangsa. Kekuatan hubungan kedua-dua negara lebih kepada pendidikan dan pelancongan,” katanya kepada media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Uzbekistan.
Ilham Tuah berkata dengan adanya penerbangan pergi-balik Batik Air ke Uzbekistan telah mempertingkatkan lagi hubungan kedua-dua negara dari segi pelancongan dan perniagaan.
“Banyak pelancong Uzbekistan ingin ke Malaysia kerana tempat pelancongan yang menarik seperti pantai dan hutan tropika. Aktiviti perniagaan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun,” kata Ilham Tuah.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lawatan berkenaan adalah atas jemputan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev.
Pada hari pertama lawatan di Uzbekistan, Perdana Menteri dijadual bertemu Mirziyoyev untuk mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta bidang kerjasama yang berpotensi.
Anwar kemudiannya akan melawat Kompleks Imam Hazrati, iaitu tempat manuskrip asal al-Quran Khalifah Uthman Affan (Mashaf Uthmani) – yang tertua di dunia – disimpan dan dipamerkan.
Dari Tashkent, Perdana Menteri akan ke Samarkand pada 18 Mei dan beliau dijangka berucap di Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia yang diadakan di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera, Samarkand.
Forum yang dianjurkan oleh Uzbekistan itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Uzbekistan Abdulla Nigmatovich Aripov.
Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia-Uzbekistan mencecah RM451.1 juta (US$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (US$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (US$414,518).