Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Foto UKAS

DUN Sarawak: MINTRED agih bantuan RM118 juta kepada 5,300 PKS

ByRegina Lee

KUCHING, 15 Mei: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) mengagihkan keseluruhan bantuan kewangan berjumlah RM118 juta kepada lebih 5,300 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

Menterinya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka yang terlibat telah memanfaatkan bantuan kewangan itu setakat April 2024.

“Akses kepada pembiayaan dan modal sentiasa menjadi cabaran utama yang dihadapi oleh PKS. Sehubungan itu, MINTRED menawarkan pelbagai bantuan kewangan seperti Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Program Go Digital, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).

“Lebih 110,000 PKS turut mendapat manfaat daripada pelbagai program keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi lain seperti Jabatan Pertanian Sarawak, Kraftangan Malaysia, LKIM, SME Corp, INSKEN dan SKM,” katanya.

Dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan DUN Sarawak di sini, Awang Tengah turut mengambil berat berhubung cabaran yang dihadapi PKS dalam mengguna pakai prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang mampan.

Justeru itu, MINTRED melalui kerjasama antara InvestSarawak, United Nations Global Compact Network for Malaysia dan Brunei dan Alliance Bank telah menyediakan RM1 bilion kemudahan pembiayaan hijau.

Awang Tengah menambah, kementeriannya akan menambah baik akses PKS kepada peluang pembiayaan hijau untuk kos pinjaman yang lebih rendah dan terma yang menguntungkan.

“Sehingga kini, RM150 juta telah diagihkan kepada 172 PKS. Kemudahan kewangan ini menyediakan insentif perbankan keutamaan kepada PKS Sarawak yang mengambil bahagian yang menunjukkan peningkatan dalam amalan perniagaan yang mampan.

“Insentif ini termasuk akses kepada pembiayaan peralihan dan modal kerja pada kadar yang lebih baik dan kadar deposit keutamaan untuk akaun semasa perniagaan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan