Search
Close this search box.
Atlet kayak Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, terlibat dalam kemalangan dipercayai dilanggar pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, di sini.

Atlet kayak Siti Nurul Masyitah kemalangan dipercayai dilanggar pemandu mabuk

ByBernama

JOHOR BAHRU, 15 Mei: Atlet kayak Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, terlibat dalam kemalangan dipercayai dilanggar pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, di sini.

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Siti Nurul Masyitah yang merupakan pelajar jurusan terbabit mengalami kecederaan yang serius.

“Mangsa sekarang dirawat di Hospital Columbia Asia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius.

“Mohon doakan agar dipermudahkan segala urusan mangsa dan diberikan kesembuhan,” menurut hantaran itu.

Hantaran tersebut juga menyatakan bahawa Siti Nurul Masyitah sering berulang-alik dari politeknik ke rumah untuk menjaga ibu yang mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan, manakala bapanya pula memerlukan rawatan dialisis.

Pelajar semester enam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) itu merupakan salah seorang atlet kayak dan Perahu Naga Malaysia yang telah memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2023.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam satu kenyataan mengesahkan atlet tersebut terbabit dalam kemalangan pada Sabtu lepas kira-kira pukul 4.30 petang di kilometer 3.5 Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi.

Beliau turut mengesahkan pemandu kereta terbabit positif alkohol berdasarkan ujian pernafasan yang dilakukan.

“Pemandu terbabit juga didapati mempunyai tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 31 tahun yang memandu Toyota Vios berwarna merah itu ditahan selama sehari pada hari kejadian untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta tersebut mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri secara tiba-tiba dan melanggar mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pinggul dan luka di bahagian kaki serta masih menerima rawatan di Hospital Columbia Asia di Iskandar Puteri, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122.

Terdahulu, kejadian itu turut tular di media sosial dengan beberapa rakaman video dan gambar yang memaparkan kejadian kemalangan membabitkan atlet tersebut yang menunggang motosikal dengan sebuah kereta. -TVS.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan