Search
Close this search box.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang. Foto TVS

STU mohon KPM lihat semula tarikh pengumuman keputusan SPM pada 27 Mei

KUCHING, 14 Mei: Kesatuan Guru Sarawak (STU) memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat kembali tarikh 27 Mei ini sebagai tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presiden STU, Kullin Djayang berkata, tarikh 27 Mei itu jatuh pada hari Isnin minggu pertama cuti persekolahan di Sarawak dan pihaknya dimaklumkan ahli yang berada di sekolah luar bandar dan pedalaman bahawa kebanyakan guru sudah memulakan perjalanan balik ke kampung masing-masing mulai 24 dan 25 Mei.

Namun, katanya, mereka pula telah menerima notis atau jadual bertugas pada hari pengumuman keputusan SPM tersebut pada 27 Mei daripada ketua jabatan masing-masing.

“Maka ini telah mengganggu jadual perjalanan balik ke kampung halaman yang jauh dari sekolah mereka. Kita tidak menyalahkan pihak pentadbir sekolah, PPD dan JPN dalam penyediaan jadual bertugas dan laporan atau statistik keputusan.

“Ini kerana kita tahu bahawa mereka kena akur dengan arahan pihak KPM. Lagipun kebanyakan sekolah akan mengadakan sesi penggambaran calon yang cemerlang. Pihak sekolah dan beberapa pihak IPT juga akan mengisi slot untuk berucap kepada para pelajar pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kataya, apa yang berlaku ialah ramai guru menghadapi dilema sama ada teruskan balik kampung kerana penempahan tiket sudah dilakukan atau terpaksa bertugas seperti yang dikehendaki ketua jabatan, jika terus bertugas, maka tempahan tiket penerbangan atau sewaan kenderaan akan hilang begitu saja.

“Jika balik dahulu dan kemudian datang semula ke sekolah pada 27 Mei untuk bertugas, ia sudah pasti memakan masa dan belanja yang agak besar kerana lokasi sekolah dengan kampung halaman yang jauh, tanpa guru subjek pula, sudah pasti suasana pengumuman keputusan SPM itu agak suram kerana masing-masing pelajar dan guru menaruh harapan yang tinggi untuk mencatat keputusan yang cemerlang.

“Atas segala kesulitan ini kita STU amat menghargai jika tarikh itu diubah semula sama ada sebelum cuti atau selepasnya.Selain guru, ibu bapa dan pelajar juga turut terpalit dengan kesukaran pada tarikh tersebut, ini kerana mereka tinggal jauh di pedalaman,” ujarnya.

Katanya, jika mereka turun pada tarikh 27 Mei dan mengambil masa dua atau tiga hari untuk perjalanan pergi balik, maka mereka akan kesuntukan masa untuk persediaan Pesta Hari Gawai dan Pesta Keamatan yang disambut mulai 30 Mei, selain itu juga dalam keadaan yang hampir menjelang musim perayaan seperti ini, kos tambang juga sudah mula melambung naik.

“Jika benar KPM mahukan pelajar yang jauh hanya menyemak keputusan secara online, maka adakah kawasan pedalaman mempunyai akses internet? Persoalan ini harus dilihat dengan serius oleh KPM. Bagi kita di Sarawak, perkara ini adalah sesuatu yang harus diambil berat oleh pihak KPM kerana banyak implikasinya kepada kakitangan sekolah, guru, pelajar dan masyarakat,” tegasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan