Search
Close this search box.
Dato Sri Julaihi menunjukkan teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam. Foto MUT

DUN Sarawak: Loji Rawatan Air Tanjung Manis tampung keperluan bekalan air Pulau Bruit

BySaibi Gi

KUCHING, 14 Mei: Projek bekalan air Tanjung Manis akan menampung keperluan bekalan air di Pulau Bruit setelah Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit siap sepenuhnya kelak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata pada masa ini, Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit yang melibatkan pembinaan tangki air aras tinggi di Semop, Saai, Penibong dan Penipah, pembinaan stesen pam penggalak Serdeng dan Saai serta pemasangan paip baharu sedang dalam pembinaan.

Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2024.

Projek bekalan air Tanjung Manis telah beroperasi pada Oktober 2023 yang dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 17 Februari 2024.

“Dengan siapnya projek ini, sistem bekalan air Tanjung Manis mampu membekalkan air mentah dari Sibu ke Tanjung Manis sehingga 50 juta liter sehari (JLH). Kapasiti 50 JLH ini boleh dinaik taraf kepada 65 JLH jika diperlukan.

“Daripada 50 JLH air mentah tersebut, sejumlah 30 JLH disalurkan kepada Loji Rawatan Air Tanjung Manis untuk dirawat dan seterusnya dibekalkan kepada penduduk di kawasan sekitarnya termasuk Pulau Bruit apabila sistem bekalan air di Pulau Bruit siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undanga Negeri Sarawak di sini, semalam.

Menambah tentang projek bekalan air Tanjung Manis, Julaihi berkata, 20 JLH air mentah lagi adalah untuk memenuhi keperluan kawasan industri di Tanjung Manis.

Loji Rawatan Air Tanjung Manis kini membekalkan air terawat ke kawasan seperti Pekan Tanjung Manis, Kampung Belawai, Kampung Jerijeh, Kampung Rajang, Kampung Serdeng, Kampung Sedau dan Kampung Bekakong.

Pada masa sekarang, permintaan air ke kampung-kampung ini adalah sebanyak 13 JLH walaupun kapasiti sebenar Loji Rawatan Air Tanjung Manis adalah 30 JLH.

“Jika ada keperluan tambahan, Loji Rawatan Air Tanjung Manis boleh dinaik taraf kepada 60 JLH pada masa hadapan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Projek Bekalan Air Tanjung Manis juga akan membekalkan air ke kampung dan rumah panjang sepanjang jalan dari Tanjung Manis ke Sibu seperti yang diluluskan oleh Abang Johari semasa majlis perasmian itu.

Kelulusan ini akan memberi manfaat kepada 1,132 isi rumah.

Malahan, pelaksanaan projek ini juga akan membentuk Sistem Grid Air apabila disambungkan dengan paip agihan air Lembaga Air Sibu yang sedia ada.

“Skop kerja untuk projek ini melibatkan pembinaan 53 km paip agihan air terawat, sebuah tangki air aras tinggi dan kerja-kerja pengukuhan struktur di tujuh jambatan sedia ada untuk menempatkan laluan paip ke seberang sungai,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan