Search
Close this search box.
Timbunan kulit kerang dimana lokasi penemuan rangka Penang Woman digunakan semula dalam pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah di sini. Foto TVS

42 rangka manusia purba akan kembali ke tanah air

ByTVS

KEPALA BATAS, 14 Mei: Sebanyak 42 rangka manusia purba termasuk satu rangka Penang Woman berusia lebih 5,000 tahun akan dipamerkan di Pusat Arkeologi Guar Kepah di sini tidak lama lagi selepas dibawa pulang dari Belanda.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Pulau Pinang, Wong Hong Wai berkata, para pencinta sejarah dari seluruh negara berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat artifak bersejarah itu selepas bangunan dua tingkat berkenaan yang dibina di atas tapak arkeologi seluas 0.97 hektar siap suku kedua tahun ini.

Katanya, ketika ini pihak kedutaan Belanda di Kuala Lumpur telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Warisan Negara untuk memindahkan kesemua 41 rangka manusia yang berada di sana untuk pulang ke tanah air.

“Sebelum ini Kerajaan Belanda bersetuju memulangkan rangka-rangka terbabit kepada Malaysia untuk diletakkan di Pulau Pinang.

“Namun, kita masih perlu melalui beberapa terma dan syarat, antaranya memastikan ruang penyimpanan kesemua rangka itu mematuhi suhu yang ditetapkan.

“Kita sedang bekerja untuk pastikan suhu di ruang pameran sesuai dengan mendapat kepakaran dari ahli arkeologi untuk membolehkan semua rangka manusia yang ditemui di tapak ini dapat dipamerkan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke tapak pembinaan galeri arkeologi tersebut hari ini.

Sementara itu, Hong Wai berkata, projek yang dimulakan November 2022 melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu telah mencapai kemajun 98 peratus.

Untuk rekod, kawasan Guar Kepah di sini merupakan tapak prasejarah pertama di Semenanjung Malaysia yang digali untuk kajian sejak 1863.

Kajian terkini dilaksanakan oleh pengkaji dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 19 April 2017 yang menjumpai rangka manusia ke-42 iaitu seorang wanita berusia lebih 5,000 tahun yang digelar Penang Woman.

Rangka Penang Woman yang dijumpai di bawah timbunan kulit kerang setinggi kira-kira tujuh meter dianggarkan mati ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian kira-kira 150 sentimeter.

Sebelum itu, sebanyak 41 rangka manusia dijumpai ketika ekskavasi oleh P V Van Stein Callenfels pada 1936 yang mana kesemua khazanah berkenaan kemudian disimpan di Leiden, Belanda berikutan tiada galeri penyimpanan yang lebih teratur di negara ini ketika itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan