Search
Close this search box.
Juara berganda Ayyub Mohammad Nur Faizul (bertopi) bersama-sama rakan sepasukannya di Kuching. Foto TVS

Jagoan cilik kuasai sukan pushbike peringkat antarabangsa

KUCHING, 7 Mei: Usianya baharu menginjak sembilan tahun, namun kudrat Sang Juara, Ayyub Mohammad Nur Faizul tidak seharusnya dipandang enteng apabila meraih kejuaraan berganda sukan pushbike di Kejohanan M8 Malaysia Pushbike Antarabangsa 2024 baharu-baharu ini.

Kecekalan Ayyub dalam menempuhi penat jerih semasa latihan terbalas meskipun ini merupakan kali pertama buat dirinya serta rakan sepasukan yang lain dalam kejohanan pushbike bertaraf antarabangsa ini.

Malah, kemenangan berganda dalam Kategori Lelaki Terbuka ini turut menyuntik semangatnya untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya gembira kerana bukan sahaja memenangi kejuaraan di M8 International, malah berbangga kerana dapat mewakili negeri Sarawak ke kejohanan tersebut. Untuk peringkat seterusnya, saya berazam untuk mengharumkan nama Sarawak serta Malaysia,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada malam Isnin.

Percaturan jurulatih pasukan War’s 15 Pushbike Sarawak, Mohammad Nur Faizul Affendi untuk menghantar pasukannya ke kejohanan bertaraf antarabangsa membuahkan hasil di luar jangkaan.

Malah, kejayaan yang dirangkul oleh pasukannya menyuntik semangat untuk lebih bersedia dalam menghadapi kejohanan yang akan datang selain membawa nama negeri ke persada sukan yang bertaraf antarabangsa.

“Alhamdulillah, penyertaan kali pertama ke kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini membuahkan hasil. Kami gembira kerana dapat membawa pulang kemenangan serta kejuaraan ini kembali ke Sarawak,” katanya.

Sementara bagi Pengurus Pasukan War’s 15 Pushbike Sarawak, Mohd Rathalluddin Hamdi, sukan pushbike bukan sekadar untuk pengisian masa lapang, malah turut dijadikan wadah untuk mendidik generasi muda akan erti disiplin serta yakin diri.

Rathalluddin turut berharap agar semua pihak dapat menggembleng tenaga dalam meningkatkan mutu sukan ini.

“Saya berharap sukan pushbike ini kelak akan dapat menjadi salah sukan yang mengangkat nama Sarawak ke persada sukan antarabangsa,” katanya.

Seramai 10 peserta daripada Pasukan War’s 15 Pushbike Sarawak telah menyertai Kejohanan M8 Malaysia Pushbike Antarabangsa 2024 di Taman Eko Langat, Selangor pada 3 hingga 4 Mei lalu.

Selain tuan rumah, Malaysia, kejohanan pushbike antarabangsa tersebut turut disertai lebih 1,000 peserta dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, China, Filipina, Indonesia, Jepun, Singapura, Thailand dan Vietnam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan