Search
Close this search box.
Seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Peru, dilaporkan dikurung di dalam sebuah banglo. Foto hiasan Envato.

Mangsa ‘job scammer’ di Peru dikurung dalam sebuah banglo, kerja hubungi rakyat Malaysia

ByAkma Salleh

KUCHING, 3 Mei: Seramai 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Peru yang berjaya diselamatkan sebelum ini telah dikurung dalam sebuah banglo di negara asing itu.

Perkara itu didedahkan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak di Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli dalam rancangan temu bual khas Dialog TVS pada Khamis.

Fenny yang berkongsi pengalamannya membantu menyelamatkan 43 mangsa tersebut berkata, mereka dikurung dengan ditugaskan pelbagai jenis tugasan.

“43 orang rakyat Malaysia ini yang diselamatkan diketahui kewujudan mereka di Lima, Peru pada masa itu apabila dua orang daripada mangsa tersebut telah memanjat tembok untuk menyelamatkan diri kerana sudah tidak tahan.

Menurut cerita mangsa, kesemua rakyat Malaysia dikurung dalam satu banglo dengan tingkap semua ditutup dan mereka tidak tahu siang atau malam. Jadi dua orang mangsa ini tadi berusaha untuk keluar dan berjaya ke rumah jiran. Bagaimanapun di Peru mereka sukar untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, apa yang dilakukan oleh mangsa tadi adalah berkomunikasi dengan menggunakan aplikasi terjemahan. Sejurus selepas itu, polis pun datang dan saya dimaklumkan mengenai perkara ini.” katanya.

Jelas Fenny lagi, beliau juga dimaklumkan bahawa mangsa ditugaskan untuk menelefon rakyat Malaysia pada sebelah malam.

“Mereka ini ditugaskan untuk membuat panggilan kepada rakyat Malaysia. Jadi selalunya mereka akan tidur pada waktu siang dan bekerja pada waktu malam untuk menelefon mangsa-mangsa di Malaysia. Ini kerana sindiket ini tidak menipu orang Peru.

Ketika serbuan dilakukan polis Peru juga dalam keadaan keliru kerana tidak pernah berdepan dengan kes seperti ini. Jadi saya pun menerangkan kepada mereka (polis) mengenai apa yang terjadi selain bekerjasama rapat dengan pendakwa raya dan Kementerian Luar Negeri untuk mengklasifikasikan mereka (mangsa) sebagai mangsa. Ini kerana jika mereka diklasifikasikan sebagai penjenayah mereka akan dipenjarakan di Peru,” katanya lagi.

Oktober tahun lalu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata pihak polis Republik Peru mengadakan satu serbuan di rumah di La Molina, di mana kesemua (43 orang) mangsa warganegara Malaysia terbabit sudah dikenalpasti dan diselamatkan.

Daripada jumlah tersebut, 16 mangsa berasal dari Sarawak serta menurut laporan mangsa terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki berusia lingkungan 30-an.

Bagaimanapun kesemua mereka ini yang dipercayai menjadi mangsa sindiket kemudiannya disiasat dan diambil keterangan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan