Search
Close this search box.
Lavinia meraikan kejayaan bergelar pemain wanita Sarawak pertama menang Terbuka Antarabangsa Malaysia pada tahun lepas.

Pemain Sarawak hadapi saingan lapan juara dunia untuk pertahankan kejuaraan

ByFirdaus Ismail

PETALING JAYA, 2 Mei: Pemain boling remaja Sarawak, Lavinia Kho Jia Jie sedar cabaran getir dihadapinya pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2024 yang sedang berlangsung di Pusat Boling Sunway Megalanes, Bandar Sunway.

Turun selaku juara bertahan, Lavinia juga memahami bahawa mempertahankan kejuaraan yang dimenangi adalah lebih sukar berbanding menang buat kali pertama.

Ini kerana atlet berusia 19 tahun itu terpaksa berdepan saingan sengit oleh lapan bekas juara dunia yang bertanding pada edisi kali ini.

“Sekiranya berjaya mempertahankan gelaran, sudah tentu ia menjadi perkara yang mengagumkan namun fokus utama saya ketika ini ialah untuk bermain dengan lebih baik dan jika perkara itu berlaku, peluang untuk pertahankan kejuaraan lebih cerah.

“Namun saingan kali ini sangat hebat dengan kehadiran nama besar, apa sahaja kesudahannya, ia pasti memberi pengalaman berharga kepada saya,” katanya ketika dihubungi TVS.

Antara pemain yang mencabar Lavinia termasuklah kepulangan legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli ke pertandingan itu.

Shalin yang merupakan bekas juara dunia lima kali, kini berada pada kedudukan selamat untuk mara ke pusingan kedua.

Empat lain pemain Malaysia termasuklah Natasha Roslan (juara dunia tiga kali), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (juara dunia dua kali), Sin Lin Jane (juara dunia acara berpasukan 2017) dan Esther Cheah (juara dunia tiga kali) turut berpotensi meranapkan impian Lavinia.

Selain itu atlet kelahiran Kuching itu juga perlu berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan oleh Krizziah Macatula dari Filipina (Juara Piala Dunia AMF 2017), pemain Sweden, Jenny Wegner (Juara Piala Dunia 2016) dan Rebecca Whiting (Australia) yang merupakan juara dunia 2019.

Sementara itu , Lavinia berkata, dia tidak menganggap beraksi di Sunway Megalanes merupakan kelebihan berikutan sudah biasa dengan keadaan permukaan lorong di situ.

“Sama seperti tahun lepas,saya akan turun selaku pemain ‘underdog’, saya mahu fokus untuk lakukan balingan terbaik dan kita lihat apa keputusannya nanti,” katanya.

Ditanya persediaan menghadapi kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 ini, Lavinia yang meraih tiga pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di gelanggang sama berkata, dia melakukan persiapan rapi.

“Sebenarnya sudah lebih sebulan saya meninggalkan Kuching kerana terlibat dengan pertandingan di Taiwan dan Singapura yang sangat mencabar kerana pemain wanita bersaing dengan pemain lelaki.

“Pengalaman sertai ketiga kejohanan ini sudah tentu menjadi pendedahan terbaik sebelum saya bersaing pada SUKMA pada Ogos ini,” tambahnya.

Pada tahun lepas, Lavinia mencatat sejarah sebagai pemain pertama Sarawak menang Terbuka Antarabangsa Malaysia selepas menewaskan pemain Singapura, Colleen Pee pada perlawanan akhir. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan