Search
Close this search box.
Bot yang membawa 77 PATI yang terbalik di luar pesisir pantai Djibouti. Foto @BerhanuTsegaye (Laman X)

21 PATI terkorban dalam insiden bot terbalik di Djibouti

ByAFP

NAIROBI, 24 April: Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dalam bencana bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terbalik di luar pesisir pantai Djibouti pada Selasa, kata agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia adalah kemalangan maritim maut kedua dalam tempoh dua minggu di negara Semenanjung Afrika Timur itu, yang terletak di laluan perairan berbahaya yang dipanggil Migrasi Timur dari Afrika ke Timur Tengah.

Sebuah lagi kapal yang membawa kebanyakan pendatang Ethiopia turut karam di kawasan yang sama pada 8 April lalu, meragut nyawa puluhan PATI.

Ketua misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di Djibouti, Tanja Pacifico, memberitahu AFP di Nairobi bahawa 21 mayat telah ditemui, manakala 23 orang masih hilang.

“Seramai 33 orang lagi terselamat daripada tragedi ini. Bot yang terbalik di luar pantai Djibouti itu membawa 77 PATI di atasnya, termasuk kanak-kanak,” kata IOM dalam catatan awal di X, menyebabkan sekurang-kurangnya 16 maut dan 28 hilang.

Ujarnya, cawangan IOM Djibouti ‘menyokong pihak berkuasa tempatan dengan usaha mencari dan menyelamat’.

Jurucakap agensi itu, Yvonne Ndege, memberitahu AFP bahawa kematian termasuk kanak-kanak dan bayi, tanpa memberikan butiran lanjut.

Duta Ethiopia ke Djibouti, Berhanu Tsegaye, berkata di platform X bahawa bot itu membawa pendatang Ethiopia dari Yaman ketika ia terbalik pada malam Isnin di Godoria di timur laut Djibouti.

Beliau mengesahkan 33 orang termasuk seorang wanita terselamat.

“Sekali lagi, bagi pihak saya dan misi, mengucapkan takziah kepada rakyat kita yang kehilangan nyawa dalam kemalangan yang kerap dan ngeri ini.

“Perjalanan haram dari Djibouti ke negara-negara Timur Tengah adalah sangat berbahaya dan kita sentiasa kehilangan nyawa warganegara kita,” katanya lagi.

Sebuah lagi kapal yang membawa lebih 60 orang karam di luar pantai Godoria pada 8 April, menurut IOM dan kedutaan Ethiopia di Djibouti.

IOM berkata, pada masa itu mayat 38 PATI termasuk kanak-kanak, ditemui, manakala enam orang lagi hilang.

Kedutaan Ethiopia berkata bot itu membawa pendatang Ethiopia dari Djibouti ke Yaman yang dilanda perang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan