Search
Close this search box.
Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna baginya selepas kehilangan tulang belakang yang banyak memberikan semangat. Foto Bernama & AFP

Nur Eilisha Rania tidak beraya lagi kali ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 April: Jika tahun lepas penerjun muda Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri kerana sibuk dengan persiapan Sukan SEA di Kemboja, namun tahun ini beliau sekali lagi terpaksa melupakan kemeriahan lebaran susulan kehilangan nenek tercinta pada 7 Feb lepas.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata beliau memilih untuk kekal di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil berbanding pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak bagi menghilangkan rasa ‘kosong’ yang membelenggu dirinya sejak pemergian Marina Allin atau dipanggil Inek Uteh yang meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Pemenang emas Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna baginya selepas kehilangan tulang belakang yang banyak memberikan semangat kepada beliau dalam arena sukan berkenaan.

“Ini kali kedua saya tidak sambut Hari Raya sebab tahun lepas saya fokus Sukan SEA manakala tahun ini tidak sambut sebab nenek baru meninggal (Februari lepas) jadi tidak berapa elok untuk sambut apa-apa perayaan.

“Saya dengan nenek sangat rapat kerana setiap kali balik Sarawak, saya pasti akan singgah rumah dia dahulu baru pulang rumah saya. Kalau saya tengah kejohanan atau kem latihan, dia selalu bertanya khabar, lepas dia meninggal dunia saya rasa amat kosong,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan neneknya buat kali terakhir dan hanya mendapat perkhabaran duka itu ketika sedang menyertai Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar menerusi panggilan telefon daripada ahli keluarga.

“Saya sempat berjumpa dengan nenek buat kali terakhir pada November tahun lepas ketika pulang ke kampung. Saya pasti akan merindui kelazatan air tangan kek lumut yang dibakar dengan penuh kasih sayang, selain bebelan dan nasihat daripada nenek,” katanya.

Enggan terus tenggelam dalam kedukaan, anak kepada bekas penerjun wanita Sarawak, Victory Emmy itu berkata beliau kini fokus kepada persediaan untuk beraksi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang berlangsung di Bumi Kenyalang pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Nur Eilisha Rania berkata untuk itu, beliau akan meneruskan sesi latihan dengan jadual latihan yang sama.

“Bagi latihan SUKMA, jurulatih minta ikut jadual. Jadual saya waktu pagi ialah jalani rehabilitasi dan fisiologi selain latihan pada sebelah petang,” katanya.

Nur Eilisha Rania berkata berbekalkan semangat diberikan kedua ibu bapanya, beliau tekad untuk bangkit dan mengharungi segala cabaran dalam arena sukan terjun negara pada masa hadapan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan