Search
Close this search box.
Seorang ibu tunggal di Terengganu menjadi wanita pertama di negara ini dikenakan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022 kerana berkhalwat. Foto Bernama

Ibu tunggal di Terengganu jadi wanita pertama disebat kerana berkhalwat

ByBernama

KUALA TERENGGANU, 17 April: Seorang ibu tunggal di Terengganu menjadi wanita pertama di negeri itu yang dikenakan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana berkhalwat.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Rosdi Harun menjatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 selepas Nurfifi Amira Nawi, 37, mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022.

Nurfifi Amira mengaku berada bersama-sama seorang lelaki berusia 40 tahun yang bukan suami atau mahramnya di sebuah rumah di Kemaman pada kira-kira 3.15 petang 31 Jan lepas.

Sebelum ini, wanita itu pernah disabitkan bagi kesalahan di bawah seksyen yang sama pada 2018 dan telah dikenakan hukuman denda.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022, kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman maksimum sebatan enam kali, denda RM5,000 atau penjara tiga tahun.

Rosli memerintahkan hukuman ke atas Nurfifi Amira, yang mempunyai seorang anak, dijalankan pada 6 Mei ini di Penjara Marang jika beliau gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini dan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, hakim berkenaan menasihati Nurfifi Amira supaya segera bernikah secara sah mengikut hukum syarak bagi menghindari perbuatan khalwat.

“Pada saya, (bagi) penyakit khalwat ubat paling besar adalah nikah yang sah daripada segi hukum syarak.

“Jangan nikah (di) Golok (Thailand). Kamu beri alasan hendak nikah tetapi tindakan tidak ada, jadi ini tidak insaf,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan