Search
Close this search box.
Mohd Shuhaily menunjukan kenderaan yang dirampas ekoran tangkap seorang suspek kes tembak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini. Foto Bernama.

Suspek kes tembak di KLIA tukar nombor plat kereta, cuba lari ke luar negara

ByBernama

KOTA BHARU, 16 April: Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi Ahad lepas sebelum ditahan di Kota Bharu semalam, dipercayai cuba meloloskan diri melalui sempadan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ia berdasarkan rekod perjalanan suspek yang sering ke luar negara, selain memiliki pasport serta sejumlah mata wang asing Riyal dan Baht.

Suspek kes tembak di KLIA ditahan depan hospital swasta, direman tujuh hari

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini, beliau berkata polis juga sedang memperhalusi kaedah digunakan suspek dipercayai untuk melarikan diri ke luar negara.

“Rekod perjalanan yang kita kaji sebelum ini memang suspek kerap ke luar negara seperti ke Arab Saudi dan Thailand sebelum masuk ke Malaysia.

“… ya, memang wujud usaha suspek untuk melarikan diri melalui sempadan negara dan kita masih mengumpul maklumat itu,” katanya.

Mengulas mengenai sama ada suspek ada membuat permohonan visa untuk ke luar negara, Mohd Shuhaily berkata perkara itu masih disiasat.

Mohd Shuhaily berkata siasatan awal mendapati suspek tiba di Kelantan pada 14 April lepas dengan menggunakan kereta yang sama iaitu Honda Civic, namun menukar nombor plat pendaftaran kereta itu bagi mengelak pergerakannya dikesan.

Menurutnya sebelum ditahan, lelaki tersebut menginap di sebuah hotel di Kota Bharu.

“Suspek memiliki empat kad pengenalan diri milik orang lain dan satu daripada kad pengenalan itu digunakan untuk membuat pendaftaran hotel,” katanya.

Beliau berkata suspek menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk mengelakkan dirinya dikenal pasti orang awam dan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Hasil intipan dilakukan, polis menahan lelaki itu berhampiran sebuah hospital swasta pada kira-kira 3 petang dan berlaku pergelutan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata lelaki itu pergi ke hospital swasta berkenaan untuk mengambil laporan lengkap pemeriksaan kesihatan miliknya yang telah siap, sebelum ditahan.

Mengulas sama ada lelaki itu mempunyai rangkaian lain dalam kes tembak itu, Mohd Shuhaily berkata suspek bergerak secara bersendirian tanpa dibantu individu lain.

“Senjata api dimiliki suspek juga dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran, bagaimana kaedah suspek memperolehnya, kita akan siasat,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata pemeriksaan tahap kesihatan mental suspek didapati normal dan tindakan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah isterinya, dirancang oleh suspek sendiri.

“Selepas suspek melepaskan tembakan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), lelaki berkenaan tidak ke tempat lain atau tidak berjumpa dengan mana-mana individu untuk meminta bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata seminggu sebelum kejadian tembak itu, suspek baru sahaja pulang dari Arab Saudi dan seterusnya ke Bangkok, Thailand dan masuk ke negara ini melalui Kelantan.

Sementara itu, polis turut merampas antaranya sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak mengandungi lapan butir peluru hidup di dalamnya dan sekotak mengandungi 24 butir peluru hidup, sebuah kereta Honda Civic, enam telefon bimbit pelbagai jenama, sejumlah mata wang asing Riyal dan Baht dan pasport.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek terlibat dengan kejadian tersebut ditahan pada kira-kira 3 petang semalam, di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi pada Ahad lepas, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Harawi, 38, bagi membantu siasatan kes berkenaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan