Search
Close this search box.
Pasukan bomba memadamkan kebakaran gerai nasi tomato dan sebuah gerai bersebelahan yang dijilat api dalam kejadian di Flat Taman Seri Damai, Jelutong di sini hari ini. Foto JBPM

Peniaga nasi tomato rugi RM300,000 gerai terbakar

GEORGE TOWN, 16 April: Seorang peniaga nasi tomato popular di Flat Taman Seri Damai, Jelutong di sini kerugian kira-kira RM300,000 selepas gerainya musnah dalam kebakaran hari ini.

Mohamad Tajularus Abdul Wahab, 41, berkata, dia menyedari kejadian berkenaan semasa berada di rumah apabila dihubungi seorang pekerjanya kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, kejadian itu disedari pekerja yang sedang memunggah barang-barang jualan kerana kedai itu beroperasi pada sebelah malam.

“Api merebak dengan sangat cepat sehingga ke gerai sebelah dan ia mungkin berlaku akibat litar pintas.

“Saya anggarkan kerugian sebanyak RM300,000 kerana terdapat banyak perkakas dan peralatan yang baru dibeli yang hangus terbakar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Tajularus, perniagaan itu diusahakan keluarganya sejak 35 tahun lalu dan menerima kira-kira 500 pelanggan sehari.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.37 pagi sebelum 14 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi.

“Kebakaran didapati membabitkan dua buah gerai yang setiap satu bersaiz kira-kira 1,400 kaki persegi dengan kemusnahan 70 peratus.

“Selain itu, tiga buah motosikal turut terbakar iaitu Honda EX5 yang terbakar lima peratus, Yamahq NVX hangus 60 peratus dan SYM E-bonus terbakar 90 peratus,” katanya.

Ujar beliau, kebakaran dikawal pada pukul 10.52 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya pukul 10.59 pagi.

Punca kejadian dan nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan