Search
Close this search box.
Seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan dalam kejadian di Kilometer 50 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik malam tadi. Foto Media sosial

Anak gajah mati dilanggar pikap

ByTVS

GERIK, 15 April: Seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan di Kilometer 50 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli dekat sini semalam.

Difahamkan, insiden kira-kira pukul 8.30 malam itu turut mengakibatkan kesesakan teruk ekoran kebanyakan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah sedang kembali dari kampung halaman selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan iaitu pikap jenis Nissan X-Trail dan kereta Perodua Axia.

Katanya, Nissan X-Trail dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama penumpang lelaki 39 tahun dan wanita 44 tahun dari arah Pasir Mas, Kelantan menuju Gerik gagal mengelak gajah yang melintas jalan secara tiba-tiba.

“Pada masa sama Perodua Axia dipandu lelaki berumur 39 tahun yang membawa empat penumpang termasuk tiga kanak-kanak melanggar belakang Nissan X-Trail.

“Anak gajah yang dilanggar juga telah mati dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa dari kedua-dua kenderaan bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Nur Shafiqa Hamid, 29, berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan keluarga yang dalam perjalanan ke arah Gerik terperangkap dalam kesesakan jalan raya hampir tiga jam.

“Ia memang kawasan biasa gajah berkeliran semenjak saya menggunakan jalan raya ini untuk balik kampung dari Gerik ke Kota Bharu, Kelantan.

“Cuma selepas melihat video-video tular di media sosial, semakin banyak gajah berkeliaran dia atas jalan raya semasa musim perayaan ini dan pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati semasa melalui kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Perak Yusoff Shariff berkata, anak gajah yang mati itu dianggarkan berusia tujuh tahun dan merupakan gajah betina.

“Gajah kita sudah bawa ke Gerik untuk proses menanam bangkai gajah tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial menerusi video berdurasi 1 minit 45 saat memaparkan anak gajah berkenaan mati terdampar di tepi laluan dan beberapa buah kenderaan rosak akibat kemalangan itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan