Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto Faitullah Morni (TVS).

Sarawak – Asia’s Renewable Powerhouse angkat Bumi Kenyalang ke persada global – Abang Johari

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 9 April: Jenama ‘Sarawak’s Asia Renewable Powerhouse’ diyakini akan mampu mengangkat Bumi Kenyalang di pentas global membabitkan kelestarian pelbagi sudut, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, ini selaras dengan 17 objektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah beliau, Sarawak juga berpotensi menjadi hab inisiatif peralihan kepada penggunaan tenaga tanpa karbon ketika dunia bergerak ke arah sifar karbon menjelang 2050 seperti yang dipersetujui melalui Perjanjian Paris pada 2015.

“Ajaran Islam menekankan tentang betapa pentingnya perencanaan dan ketertiban sama ada urusan duniawi mahupun soal ukhrawi terutama bagi berdepan dengan realiti dan cabaran dunia pada masa kini, khususnya mengenai usaha sejagat untuk menangani perubahan iklim.

“(Dalam soal ini) Sarawak merupakan bumi bertuah yang telah dirahmati oleh Allah SWT dengan pelbagai sumber kekayaan, khususnya tenaga yang boleh diperbaharui yang dijanakan oleh kuasa air di sungai-sungai yang besar lagi panjang seperti Batang Rajang, Batang Ai, Sungai Murum dan Batang Baleh.

“Sarawak mempunyai sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan lestari yang besar untuk dikongsikan dengan negara-negara di rantau Asia, malah di luar Asia,” katanya.

Abang Johari berkata demikian menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi TVS malam ini.

Sementara itu Abang Johari turut berkongsi potensi dimiliki Sarawak untuk menjana 20 GW tenaga hidro dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.4 GW.

Jelas beliau ini sekali gus membolehkan Sarawak menyediakan tenaga rendah karbon dengan tarif yang kompetitif kepada para pelabur.

“Matlamat Sarawak yang seterusnya ialah untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan Sabah serta penyaluran 1 GW ke Singapura menjelang 2032 melalui kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer (km) selain penyaluran 190 MW sedia ada ke Kalimantan Barat,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut berkongsi kejayaan syarikat milik Kerajaan Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Kata Abang Johari entiti Kerajaan Sarawak bergerak laju dan ini dapat dilihat menerusi kemampuan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang sedang melaksanakan dasar bekalan tenaga hingga 10 GW atau 10,000 MW menjelang 2030 melalui penjanaan hidro dan turbin gas.

“Sarawak akan terus membangunkan potensi sumber tenaga hidronya dengan kaedah yang membawa kesan minimal kepada alam sekitar.

“Saya telah memberi arahan kepada agensi berkaitan untuk mengkaji penjanaan kuasa dengan konsep sumber tenaga daripada empangan melata yang telah digunakan di Norway dan Kanada.

“Dengan persetujuan penduduk setempat projek tersebut akan bermula di Sungai Gat, Baleh, Kapit,” ujarnya lagi.

Sementara itu Abang Johari menambah, sumber-sumber tenaga rendah karbon lain turut dibangunkan atau diteroka Sarawak untuk memenuhi keperluan serantau.

“(Ini meliputi) pengeluaran hidrogen hijau dan bahan bakar penerbangan mampan yang dihasilkan daripada alga atau solar terapung dan biojisim (biomass) dalam bentuk pellets daripada sumber hutan,” katanya.

Katanya lagi, Sarawak mempunyai sumber dan keupayaan untuk membantu menyelesaikan masalah negara-negara di rantau ini yang tidak mempunyai sumber tenaga hijau atau tidak mempunyai keupayaan untuk menyimpan karbon atau keupayaan untuk menyerap karbon dioksida.

“Oleh itu, jolokan ‘Sarawak bateri Asean’ atau ‘Sarawak hub tenaga hijau’ bukanlah omongan kosong atau impian semata-mata,” tegasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan