Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi TVS.

Hargai pengorbanan pasukan keselamatan, penjawat awam pada Aidilfitri – Tun Wan Junaidi

ByKimberly Dickson

KUCHING, 9 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru supaya rakyat tidak melupakan jasa anggota pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan penjawat awam Sarawak ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tun Wan Junaidi berkata, ini kerana setiap kali musim perayaan, penjawat awam sentiasa mencurahkan khidmat terbaik bagi menjaga dan memelihara keselamatan rakyat dan negara.

Pada masa sama beliau turut meminta tidak melupakan golongan kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim, warga tua, serta orang kelainan upaya.

“(Ini termasuklah) rakyat Palestin di Gaza yang sedang diuji dengan isu kemanusiaan dan ujian kekejaman yang amat dasyat.

“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan pengharapan kepada Allah SWT agar kemelut yang mereka hadapi akan segera berakhir,” katanya.

Tun Wan Junaidi berkata demikian menerusi Perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi TVS malam ini.

Menerusi ucapan sama, beliau turut menyeru seluruh warga Sarawak khususnya umat Islam supaya memanfaatkan ruang yang ada untuk terus memperkukuhkan ukhuwah.

“(Ini dapat dilakukan) melalui aktiviti berziarah antara kaum keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan.

“Dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk, sudah pasti kesejahteraan hidup bermasyarakat menjadi asas pembinaan masyarakat harmoni yang (seterusnya) menjadi tunjang perpaduan yang natijahnya menguatkan kesatuan ummah,” tambahnya.

Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi turut mengalu-alukan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berusaha menyediakan pendidikan percuma di semua institut pendidikan tinggi awam (IPTA) Sarawak menjelang 2026.

Kata beliau ini selaras dengan hasrat Sarawak untuk menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Dengan usaha yang baik, saya berharap agar semua lapisan rakyat bakal menikmati pendapatan yang lebih tinggi, kehidupan yang lebih baik, penjagaan kesihatan lebih berkualiti dan kesejahteraan melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang memfokuskan tenaga hijau, ekonomi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan alam sekitar yang lebih mampan,” katanya.

Menutup perutusan, Tun Wan Junaidi mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan