Search
Close this search box.
Dr. Liew Shan Fap (kiri), Dr. Syed Ahmad Asyraf (tengah) dan Dr. Lim Siong Hee (kanan) ketika ditemui TVS di sini, baru - baru ini. Foto Aziz Soleh (TVS)

Tiga doktor ingatkan masyarakat bersedia hadapi ancaman penyakit X

ByKimberly Dickson

KUCHING, 8 April: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan 7 April (semalam) pada setiap tahun sebagai Hari Kesihatan Sedunia.

Sambutan kali ini sebenarnya turut mengingatkan masyarakat global supaya berwaspada kerana kita mungkin berdepan satu lagi ancaman kesihatan.

Yang dimaksudkan ialah munculnya penyakit X yang dikhuatiri mampu mencetuskan pandemik seperti COVID-19 yang telah mengorbankan puluhan juta nyawa di seluruh dunia.

Pengamal perubatan menjangkakan ‘musuh baharu’ itu semakin hampir namun timbul persoalan sejauh mana sistem kesihatan negara – negara di seluruh dunia bersedia?

Lakukan persediaan lebih awal

Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Lim Siong Hee berkata, sistem kesihatan negara perlu mengambil serius amaran WHO.

Kata beliau kita perlu melakukan persediaan awal di samping belajar daripada pengalaman sewaktu negara berdepan pandemik COVID-19.

“Sebelum COVID-19, (sebenarnya) pengamal perubatan telah menyedari terdapat potensi untuk penyakit- penyakit baharu atau penyakit sedia ada muncul secara tiba- tiba sebagai bencana, krisis atau pandemik seperti penyakit influenza.

“Bagi penyakit X pula, ia adalah refleksi daripada kesedaran yang mencerminkan ketidakpastian mengenai sifat dan asal – usul ancaman masa depan terhadap kesihatan global” jelasnya kepada TVS baru – baru ini.

Senada dengannya, Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi di Hospital Timberland, Dr. Liew Shan Fap menyifatkan sudah ada keperluan untuk melakukan persediaan awal bagi menghadapi penyakit ini.

“Kita perlu mengambil langkah untuk mencegah penyakit- berjangkit termasuk kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial seperti yang dicadangkan oleh pengamal perubatan.

“Pengamal perubatan perlu mengambil tindakan untuk mengkaji langkah untuk merawat penyakit dan membuat penyelidikan serta menulis garis panduan yang lebih berkesan pada masa depan,” katanya.

Shan Fap berkata, selain kesedaran di bandar, taraf kesihatan penduduk di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak perlu diberikan tumpuan.

“Ini supaya mereka mendapat rawatan yang berkesan dan akses yang lebih mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Bau, Dr. Syed Ahmad Asyraf pula berpandangan, rakyat Malaysia perlu cakna akan ancaman kesihatan baharu itu dengan sentiasa mengambil langkah berjaga- jaga.

Katanya sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini yang bertemakan My Health, My Right menuntut masyarakat untuk sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.

“Kebanyakan masyarakat enggan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan kerana takut untuk diperiksa dan tidak mahu makan ubat serta risau mungkin akan ‘sangkut’ dengan pelbagai penyakit.

“Pelbagai program kesedaran perlu dijalankan untuk menyedarkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai ragam, sama ada di bandar atau luar bandar, ” jelasnya.

Menurut ketiga- ketiga pengamal perubatan itu, peruntukan untuk peningkatan fasiliti dan kemudahan awam untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang unggul dan mencukupi perlu diberi penekanan oleh kerajaan.

Masyarakat turut mainkan peranan

Sementara itu, rata-rata masyarakat yang ditemui mengakui bimbang akan ancaman kesihatan baharu ini dengan mengambil langkah pencegahan menerusi pengalaman gaya hidup sihat bagi mengelakkan diri dijangkiti penyakiti berbahaya.

Pelajar kejururawatan di UNIMAS, Lioniell Gyll Francis, 24, berharap agar sektor kesihatan negara menjadi lebih membangun agar masyarakat mendapat rawatan yang baik tanpa mengira apa jua latar belakang seseorang individu.

“Menjalankan aktiviti beriadah sekurang- kurangnya tiga kali seminggu seperti berlari, bersenam atau melakukan kerja- kerja di rumah dapat membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak, Julia Adila pula berkata, pemakanan yang sihat dan persekitaran yang bersih amat perlu bagi memastikan anak- anaknya memperoleh kesihatan pada tahap yang optimum.

Tuntasnya, semua lapisan masyarakat diseru untuk memainkan peranan masing- masing selaras dengan tema pada tahun ini demi mewujudkan negara yang sihat dan sejahtera. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan