Search
Close this search box.
Pemilik Santan M’darat Mohd Firdaus Ismail memarut kelapa menggunakan mesin ketika ditemui Bernama di Kampung Sungai Rokam di sini, hari ini. Foto, Bernama.

OKU gigih usahakan perniagaan santan

ByBernama

IPOH, 7 April: Kesukaran mendapatkan bekalan santan untuk persiapan Aidilfitri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, mendorong Mohd Firdaus Ismail, 40, yang juga orang kurang upaya (OKU) mengusahakan perniagaan Santan M’darat sejak tiga tahun lepas.

“Pada waktu itu saya memerlukan lebih 40 kilogram (kg) untuk penyediaan lemang dan rendang namun yang dapat hanya kira-kira 20 kg sahaja.

“Daripada situ, timbul inisiatif untuk memulakan perniagaan ini. Jadi dengan kawasan yang ada di kediaman saya ditambah sokongan keluarga dan rakan-rakan memberi suntikan semangat kepada saya,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Sungai Rokam di sini, hari ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata modal sekitar RM30,000 diperuntukkan untuk membeli sebuah mesin perah santan, mesin parut kelapa serta perkakas lain bagi menjalankan perniagaan tersebut.

“Selain kelengkapan, wang berkenaan juga saya gunakan untuk membeli buah kelapa secara pukal daripada peraih dari Bagan Datuk dan Sungai Siput,” katanya.

Kehilangan tangan kiri akibat kemalangan pada 2006, beliau memberitahu amat bersyukur kerana isteri Nurul Artikah Mohamad Ali, 39, serta anak kedua mereka Muhammad Hariz Mohd Firdaus, 13, banyak membantu urusan perniagaan tersebut.

“Isteri dan anak merupakan tulang belakang saya. Setiap hari, kedua-dua mereka akan membantu sama ada daripada proses memerah santan, memarut kelapa serta pembungkusan,” katanya.

Menurutnya permintaan santan menjelang musim perayaan ini meningkat sekali ganda berbanding kebiasaan dan rata-rata pelanggan dalam kalangan masyarakat sekitar serta rakan-rakan yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan.

“Kalau hari biasa, saya boleh jual kira-kira 50 hingga 60 kg sehari tetapi apabila masuk pertengahan Ramadan hingga ke perayaan Aidilfitri, jumlah itu akan meningkat dalam anggaran 100 hingga 150 kg sehari.

“Harga jualan yang ditawarkan bagi santan biasa RM8 per kg, santan pekat RM18 per kg serta RM8 per kg bagi kelapa parut,” katanya yang menitikberatkan kualiti dan kebersihan bagi memastikan perniagaan itu mampu bertahan dan maju. -TVS

Tags: ipoh, oku, Perak, santan

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan