Search
Close this search box.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution. Foto, Bernama.

300 kanak-kanak warga asing ditempatkan di tiga Baitul Mahabbah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 April: Sebanyak 300 kanak-kanak warga asing berumur di bawah 10 tahun ditempatkan di tiga pusat jagaan Baitul Mahabbah yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Baitul Mahabbah itu terletak di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Miri, Sarawak.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut terdiri daripada mereka yang lahir di depot imigresen atau ditinggalkan oleh ibu bapa masing-masing sewaktu operasi JIM dijalankan.

“Atas dasar perikemanusiaan, kita jaga kanak-kanak ini di depot dan diasingkan menerusi Baitul Mahabbah.

“Kesemua mereka berpeluang mengikuti kelas seperti mengenal huruf dan dikendalikan pihak JIM dalam suasana yang kondusif,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Warga JIM di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata kementeriannya menerima peruntukan RM10 juta untuk mengubah suai premis yang bersesuaian bagi tujuan menambah bilangan Baitul Mahabbah di Kelantan, Johor dan Kedah.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan memanfaatkan premis sedia ada untuk diubah suai sebagai Baitul Mahabbah yang baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat Mac lepas JIM merekodkan 13,530 tahanan di depot imigresen dan Baitul Mahabbah seluruh negara dengan 9,438 tahanan lelaki, wanita (2,696), kanak-kanak lelaki (772) dan kanak-kanak perempuan (624).

“Daripada jumlah keseluruhan tahanan itu, warga Indonesia paling ramai iaitu 3,375 orang, Filipina (3,345) dan etnik Rohingya (2,653)

“Diikuti dengan warga Myanmar sebanyak 1,988 orang, Bangladesh (719), Thailand (340) dan selebihnya warga China, India, Vietnam, Nepal, Pakistan serta Kemboja,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution meninjau Depot Imigresen Bukit Jalil bagi memantau aspek keselesaan dan memastikan penjagaan tahanan dengan sifat kemanusiaan.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan