Search
Close this search box.
Gambar hiasan

Kes demam denggi meningkat pada ME12, empat kematian dilaporkan

ByBernama

PUTRAJAYA, 1 April: Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 3,041 kes pada Minggu Epidemiologi ke-12 (ME12) iaitu dari 17 hingga 23 Mac lepas berbanding 2,905 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi kenyataan berkata, empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME12.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME12 adalah sebanyak 41,565 kes berbanding 26,222 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 28 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 17 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME12 adalah sebanyak 141 lokaliti berbanding 161 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, daripada 141 lokaliti dilaporkan, Selangor mencatatkan 118 lokaliti diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (13), Pulau Pinang (enam), Perak (dua) serta masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan dan Johor.

Dr Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat empat kes direkodkan pada ME12 dan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 13 kes.

Beliau berkata, terdapat dua wabak chikungunya dilaporkan pada ME12 manakala bagi survelan zika sebanyak 568 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dengan hasil kesemuanya adalah negatif.

Menurut Dr Muhammad Radzi, musim perayaan menyebabkan pergerakan masyarakat meningkat seterusnya meningkatkan risiko berlakunya peningkatan jangkitan demam denggi.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya memastikan tiada bekas yang boleh menakung air di dalam dan di luar rumah serta menutup semua bekas yang menyimpan air dengan rapat sebelum meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung dan bercuti. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan