Search
Close this search box.
Dewan Negara dimaklumkan negara Kesatuan Eropah merupakan pembeli ketiga terbesar produk sawit Malaysia ketika ini. Foto hiasan, Envato.

Dewan Negara: Peraturan EU berkaitan kelapa sawit kurang munasabah untuk pekebun kecil

ByPriscilla

KUALA LUMPUR, 1 April: Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan terus diperkasakan bagi membolehkan negara diiktiraf sebagai pengeluar mampan bagi komoditi berkenaan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata ini berikutan terdapat pasaran tertentu yang mengenakan syarat ketat sebelum menerima produk sawit negara.

Jelas beliau, sebagai contoh piawaian yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dilihat kurang munasabah untuk pekebun kecil.

“Untuk kepentingan negara, apabila mahu pastikan eksport sawit negara dapat dikekalkan, kita harus wujudkan piawaian melalui MSPO untuk perkasakan (supaya) EU boleh terima dan iktiraf Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan,” katanya.

Foong Hin menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang ingin tahu mengenai laporan media mengenai kemerosotan penghasilan sawit negara sebanyak 30 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2020.

Tambah beliau, ketika ini EU merupakan pembeli ketiga terbesar bagi produk sawit Malaysia.

Sementara itu menjawab soalan asal Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu langkah-langkah kerajaan untuk membantu golongan di luar bandar bagi mengukuhkan lagi sektor komoditi terutamanya getah dan kelapa sawit dalam menghadapi cabaran ekonomi beliau berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa bantuan.

“Sebanyak RM90 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2024 kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA).

“Ini untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan,” jelasnya.

Pada masa sama katanya kerajaan melalui kementerian dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperuntukan RM100 juta untuk Program Tanam Semula Sawitu.

“Ini bagi memperkukuhkan sektor sawit dan membantu meningkatkan pendapatan golongan di luar bandar yang terlibat,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan