Search
Close this search box.
Isaac Wee Jin Kai banyak meluangkan masanya dengan melukis, malah turut menjadi pendapatan sampingannya. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Bagi Isaac, autisme bukan penghalang untuk mendalami seni lukis

ByAmirah Shawel

MENUNTUT ilmu ialah sebaik-baik amalan dan merupakan satu tuntutan buat semua umat manusia tidak kira sempurna atau kelainan upaya bagi memelihara intelektual mereka.

Bagi insan istimewa, Isaac Wee Jin Kai, menuntut ilmu adalah salah satu cara untuk mengajar dirinya berdikari demi kelangsungan hidup.

Seawal usia empat tahun, Isaac, 26, disahkan menghidap autisme ringan dalam Autism Spectrum Disorder (ASD) akibat demam panas dan sawan, menyebabkannya mengalami sedikit kesukaran untuk menjalani kehidupan seperti rakan sebaya.

Namun, autisme tidak menjadi penghalang kepadanya untuk meraih segulung ijazah diploma dan dua Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Isaac Wee Jin Kai gemar meluangkan masa lapangnya dengan melukis, malah turut menjadi pendapatan sampingannya. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

“Ayah pesan, tiada orang lain yang dapat membantu saya kerana dunia saya seperti ini. Saya perlu berdikari.

“Pada awalnya ayah tidak tahu apa yang saya boleh lakukan, tetapi dia lihat saya sangat suka melukis. Jadi, ayah daftarkan saya untuk belajar sehingga diploma.

“Saya belajar di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) selama tiga tahun dan memiliki sijil dalam rekaan grafik,” katanya ketika ditemui TVS.

Tidak dinafikan, dengan diagnosis itu, Isaac juga mengalami sedikit kesukaran untuk mengikuti pembelajaran sepanjang pengajiannya kerana tidak boleh menumpukan perhatian.

Kadang-kadang aktiviti mindanya tidak seiring dengan keinginan diri, malah terpaksa berjalan dan melompat sehingga penat agar dapat bertenang.

Isaac berkata, beliau beruntung memiliki rakan sekelas dan tenaga pengajar yang memahami kemampuan dirinya.

Penghidap autisme, Isaac Wee Jin Kai gemar meluangkan masa lapangnya dengan melukis, malah turut menjadi pendapatan sampingannya. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

“Ia satu cabaran. Kadang tidak tahu hendak buat apa, saya perlu selalu bertanya. Sehinggakan jantung saya berdebar. Mujur kawan-kawan sentiasa ada untuk membantu. Kalau saya sudah okay baru saya dapat sambung buat tugasan,” luahnya.

Beliau berhasrat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan peluang.

Berbeza dengan anak autisme lain, Isaac berada pada kategori autisme berfungsi tinggi kerana beliau mampu menjalankan aktiviti harian dengan sendiri.

Isaac Wee Jin Kai gemar meluangkan masa lapangnya dengan melukis, malah turut menjadi pendapatan sampingannya. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Isaac boleh memandu, membeli barangan keperluan, memasak dan menjaga ayahnya.

Rutinnya pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, beliau akan meluangkan masa selama beberapa jam di Persatuan Autisme Kuching (KAA) sebagai pereka grafik bebas.

Isaac juga memperoleh pendapatan sampingan hasil daripada lukisan dan rekaannya yang dijual kepada pihak luar.

 

IMPIAN PENDIDIK INSAN AUTISME

Isaac merupakan anak murid autisme pertama kepada Tenaga Penjagar Rekaan Grafik Tahap 3 Sarawak Skills, Muhammad Fauzi Harun.

Fauzi berkata beliau tidak menyangka akan ditugaskan untuk mendidik insan istimewa itu kerana tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman sewajarnya.

Bercerita, awal dahulu beliau terpaksa mendapatkan pertolongan daripada ibu bapa untuk membantunya agar mampu memberikan pendidikan yang sebaiknya kepada golongan ini.

“Mereka akan maklumkan kepada saya kategori autisme anak mereka kerana cara penyampaian adalah berbeza.

“Daripada itu, saya akan gunakan kaedah mereka dalam pembelajaran saya agar anak-anak autisme ini mampu menyesuaikan diri. Kita perlu ikut cara yang sesuai dengan mereka,” katanya.

Tambahnya, beliau menggunakan sistem ganjaran sebagai kaedah untuk meningkatkan semangat insan-insan istimewa melaksanakan tugasan yang diberikan.

Fauzi berkata beliau turut menggalakkan anak muridnya yang lain untuk memberikan dorongan kepada golongan ini bagi membantu menarik minat mereka untuk terus belajar.

Sementara itu, dalam usaha memastikan pendidikan individu kelainan upaya ini diberikan perhatian, tenaga pengajar yang diamanahkan untuk mendidik perlu dilengkapkan dengan latihan dan kemahiran bersesuaian.

Beliau juga berpendapat bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) yang khusus buat golongan ini perlu dibangunkan memandangkan kaedah pembelajaran dan penyampaian adalah sangat berbeza daripada pelajar biasa.

“Lebih-lebih lagi pada zaman ini. Tidak semua mampu menjadi tenaga pengajar mereka,” ujarnya.

Kini, beliau diamanahkan oleh pihak pengurusan untuk terus mencurahkan bakti kepada komuniti neurodivergen yang mendaftar ke institusi itu, malah menerima sekurang-kurangnya satu pelajar setiap tahun.

Menjelang 2030, di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS), Kerajaan Sarawak meletakkan inklusiviti sosial sebagai tunjang utama.

Sekiranya dilihat dari aspek pendidikan, sebanyak empat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) yang dibina di Sarawak iaitu di Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Miri.

Namun, kesemua sekolah ini adalah sehingga ke peringkat pendidikan rendah sahaja. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan