Search
Close this search box.
Awang Tengah menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima. Foto TVS

Projek Kereta Api Trans Borneo pemangkin ekonomi dan perdagangan – Awang Tengah

LAWAS, 31 Mac: Pelaksanaan projek kereta api berkelajuan tinggi di bawah Projek Kereta Api Trans Borneo (TBR) memangkin pertumbuhan ekonomi dan perdagangan Sarawak apabila dilaksanakan kelak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perbincangan bersama negara Brunei perlu dilakukan kerana ia melalui negara itu sebelum pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau berkata, projek itu pastinya akan mempermudahkan dan melancarkan lagi perhubungan kedua-dua negara berjiran.

“Ini masih di peringkat awal dan perlu melakukan perbincangan bersama negara Brunei bagi perancangan pelaksanaan projek ini, peringkat awal melibatkan kerja-kerja penyelidikan.

“Projek ini akan menyumbang pembangunan terutama sekali dari segi hubungan perdagangan itu sendiri dan pembangunan ekonomi selain memudahkan perhubungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Anak-Anak Yatim Daerah Lawas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu Brunergy Utama Sdn Bhd ketika mengumumkan perkara itu dalam laman sesawang rasminya berkata, projek tersebut akan dibina dalam dua fasa, membabitkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Katanya, fasa pertama projek menyasar untuk menghubungkan bandar kuasa ekonomi di pesisir Barat yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Laluan bagi fasa pertama itu melalui Kota Kinabalu, Kimanis/Papar, Beaufort, Sipitang, Lawas, Bangar, Limbang, Bukit Panggal, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching, Sambas, Singgawang, Mempawah dan Pontianak.

Sementara itu, fasa kedua akan menelusuri Utara dan Timur Kalimantan yang menghubungkan laluan utama dengan bandar besar Borneo iaitu Samarinda dan kemudiannya dengan ibu negara Indonesia iaitu Nusantara.

Pada majlis itu seramai 1,192 penerima menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Lawas Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bahagian Limbang (LAKIL), Syarikat Empayar Setia Sdn Bhd dan Kencana Defence Sdn Bhd serta Tecktonic and Son Sdn Bhd. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan