Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri Taklimat Pembangunan Perkhidmatan Kesihatan dan Pendidikan di Kota Samarahan, hari ini. Turut hadir, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. Foto Faitullah Morni (TVS)

Jawatankuasa khas perhalusi isu pendidikan, kesihatan di Sarawak ditubuhkan

ByHafeezzur Muzamir

KOTA SAMARAHAN, 30 Mac: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bagi memperhalusi aspek yang berkaitan dengan pembangunan kemudahan kesihatan dan kemudahan pendidikan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkara itu diputuskan pada Taklimat Pembangunan Perkhidmatan Kesihatan dan Pendidikan negeri ini di Pejabat Pengairan dan Saliran (DID) yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Satu pasukan (jawatankuasa) khas akan ditubuh antara kerajaan negeri dan persekutuan di peringkat pegawai-pegawai. Ketua Setiausaha Negara telah bersetuju bahawa satu pasukan khas akan diwujudkan untuk memperhalusi semua aspek yang berkaitan pembangunan ini.

“Di peringkat kita (Sarawak), kita akan bekerjasama dengan pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan untuk memperhalusi perkara yang boleh diambil tindakan segera untuk mengurangkan birokrasi dan memastikan projek-projek dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Pembangunan Perkhidmatan Kesihatan dan Pendidikan negeri ini di Pejabat Pengairan dan Saliran (DID) di sini, hari ini.

Taklimat itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohamad Abu Bakar berkata, jawatankuasa khas itu mempunyai peranan yang berbeza dengan jawatankuasa pembangunan negeri.

“Memang kita mempunyai jawatankuasa pembangunan negeri yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, sudah semestinya, jawatankuasa ini menjurus kepada semua projek persekutuan.

“Tapi untuk tujuan hari ini, kita fokus pendidikan dan kesihatan kerana terdapat perkara yang memerlukan perhatian serius di peringkat pegawai dan ia perlu kita tangani,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai inti pati lain mesyuarat itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah memaklumkan peruntukan yang diperlukan untuk projek-projek pembangunan kesihatan dan pendidikan terutama sekali klinik dan sekolah daif yang memerlukan perhatian serius daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita sudah maklumkan kepada perdana menteri dan menteri yang bertanggungjawab dan kita berterima kasih kerana mereka mendengar masalah yang dihadapi negeri ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan