Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol mengagihkan bubur lambuk di pangkalan Feri Batang Paloh, hari ini. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

Abdullah terkilan kelewatan jadual siap Jambatan Batang Paloh

BySaibi Gi

SERDENG, (Tanjung Manis) 30 Mac: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata beliau terkilan dan kecewa dengan kelewatan pembinaan Jambatan Batang Paloh.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa jambatan itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2025 berbanding Disember 2024 seperti dilaporkan media sebelum ini.

Datuk Abdullah Saidol bersama para sukarelawan Program Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Cawangan Semop, hari ini. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

“Mewakili harapan terutama masyarakat Pulau Bruit, saya sangat berharap agar kontraktor dan agensi pelaksana dapat melakukan kerja mereka dengan komitmen yang lebih serius,” katanya selepas menyempurnakan Program Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Cawangan Semop di sini, hari ini.

Apabila siap kelak, Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dengan kos pembinaan RM298 juta yang merupakan sebahagian jalan raya pesisir, akan menghubungkan Pulau Bruit dan tanah besar yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.

Ia bakal menggantikan perkhidmatan Feri Batang Paloh.

Sementara itu, Abdullah yang juga Ahli DUN Semop berkata JKR telah bersetuju menyediakan feri tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

“Menjelang Hari Raya, dijangka kesesakan kenderaan akan berlaku di pangkalan Feri Batang Paloh.

“JKR telah bersetuju menyediakan perkhidmatan tiga feri pada waktu siang tetapi hanya dua feri pada waktu malam, bergantung dengan keadaan cuaca dan deras air sungai,” katanya.

Dalam pada itu, Program Jerayawara Bubur Lambuk itu membabitkan 30 sukarelawan dari kalangan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Skuada Sayang Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Saberkas Cawangan Semop dari Kampung Serdeng, Sedo, Teluk Gelam, Berangan dan kampung-kampung di Pulau Bruit.

Para sukarelawan memasak dan membungkus bubur lambuk di pekarangan masjid Kampung Serdeng, seterusnya Abdullah turut serta mengedar di pangkalan Feri Batang Paloh.

Mengenai program sempena Aidilfitri, Pusat Khidmat ADUN Semop akan mengadakan majlis rumah terbuka.

Ia berpusat di enam lokasi iaitu di Kampung Tekajong membabitkan tujuh kampung di zon utara Pulau Bruit, Kampung Saai (enam kampung di zon selatan Pulau Bruit),  Paloh (tiga kampung), Tanjung Bundung (lima kampung), Serdeng (empat kampung) dan Kampung Melayu Bintangor (sembilan kampung).

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan