Search
Close this search box.
Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kontrak kerja penyelenggaraan dengan kerajaan bernilai RM43,909 empat tahun lepas. Foto hiasan Envato

Kontraktor mengaku tidak salah kemuka dokumen palsu dapatkan kontrak kerajaan

ByBernama

KANGAR, 27 Mac: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kontrak kerja penyelenggaraan dengan kerajaan bernilai RM43,909 empat tahun lepas.

Mohamad Basir Shariff, 62, yang merupakan pengurus syarikat Perfect Solution Enterprise dituduh menggunakan Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor, Sijil Perolehan Kerja Kerajaan serta Sijil Pengiktirafan Taraf Bumiputera palsu untuk mendapatkan kerja undi bagi kerja penyelenggaraan jalan di Kampung Guar Nangka, Chuping bernilai RM24,964.65.

Selain itu, Mohamad Basir yang juga pengurus Perfect Income Trading dituduh menggunakan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera palsu atas nama syarikat bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan dewan dan stor Kampung Kuala Sungai Padang, Sanglang serta kerja lain berkaitan berjumlah RM18,945.05.

Semua kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan di sini pada 22 Jun 2020.

Bagi semua kesalahan itu, Mohamad Basir didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Hakim Norsalha Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis Salizawaty Abd Samad, manakala tertuduh diwakili Peguam Zamri Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan