Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad menunjukkan sebahagian rampasan dadah menerusi dua serbuan yang dijalankan polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. Foto TVS.

Polis tahan lelaki, rampas syabu bernilai lebih RM 500,000

GEORGE TOWN, 26 Mac: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM 500,000 di rumah sewanya di Nibong Tebal di sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, suspek berumur 51 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam di beranda rumahnya semasa serbuan.

Menurutnya, penangkapan itu membawa kepada penemuan lebih 17.29 kilogram (kg) syabu bernilai RM571,500 di dalam bungkusan berwarna keemasan tertera teh Cina yang disembunyikan dalam bagasi.

“Semakan lanjut mendapati suspek yang mempunyai 11 rekod lampau termasuk 10 daripadanya membabitkan kes dadah itu aktif dalam pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu.

“Suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine dipercayai mengedar dadah bagi pasaran tempatan yang jumlah rampasan itu boleh digunakan oleh 87,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambahnya, polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM19,200, manakala suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata, polis turut memberkas tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 kira-kira pukul 11 malam di Tanjung Tokong di sini semalam selepas disyaki melakukan kegiatan menjual dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) di pusat hiburan.

“Kita merampas hampir 1.8 kg MDMA, pil ekstasi dan syabu yang bernilai kita-kira RM27,940.

“Berdasarkan siasatan, kesemua dadah MDMA itu dibuat dalam bentuk minuman perisa coklat dan dipercayai dijual pada harga RM300 sebungkus,” katanya.

Ujarnya, kesemua suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan