Search
Close this search box.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyerahkan dokumen kepada Datu Richard Tajan yang dilantik sebagai Pengarah Projek SSLR II. Foto JKR Sarawak

Kerajaan Persekutuan peruntuk RM7.2 bilion bagi bina jalan penghubung Sarawak-Sabah

BySaibi Gi

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.2 bilion bagi pembinaan jalan raya Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR II) yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek ini bakal menyediakan akses dan mobiliti kepada rakyat kawasan utara Sarawak yang berada di kawasan pedalaman.

“Bakal dibina sepanjang 322 kilometer dan dilaksanakan melalui empat pakej secara reka dan bina, ia akan menghubungkan bandar Lawas ke bandar Limbang dan seterusnya ke pekan Mulu tanpa melalui Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan pengarah projek dan surat setuju terima bagi SSLR II di Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Datu Richard Tajan yang juga dilantik sebagai Pengarah Projek SSLR II bagi mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek bagi pihak Kementerian Kerja Raya selaku pemilik projek dan wakil kontraktor utama.

Nanta berkata pandemik COVID-19 pada tahun 2020 hingga 2021 menyaksikan betapa pentingnya jaringan jalan raya atau akses perhubungan darat bagi kawasan di utara Sarawak.

“Ini terbukti apabila Brunei menutup pintu sempadan mereka bagi mengekang penularan COVID-19 dan ini menyebabkan kawasan utara Sarawak terputus hubungan dengan Kuching dan bantuan terpaksa dihantar melalui Sabah,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai kepentingan projek ini, beliau berkata ia akan menjadi pemangkin dan faktor pengganda kepada pembangunan dan suntikan kepada ekonomi.

SSLR juga diharap berupaya meningkatkan industri ekopelancongan terutamanya di Ba’Kelalan dan Mulu yang kaya dengan flora dan fauna.

Beliau berharap agar kontraktor memastikan pelaksanaan projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual dan memberi nilai yang munasabah kepada kerajaan.

“Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak yang diberikan kepercayaan bagi mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek bernilai dan berimpak tinggi ini, sekali gus dapat meningkatkan kompetensi selaku Agensi Pelaksana Teknikal di Wilayah Sarawak,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan