Search
Close this search box.
Kerajaan akan membelanjakan lebih RM206.78 juta untuk selesaikan isu 600 menara telekomunikasi tanpa ‘kuali’ di Sarawak kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil(gambar). Foto Firdaus Ismail (TVS) dan Envato.

Parlimen: Lebih RM206.78 juta disalur untuk selesai menara telekomunikasi tidak berfungsi di Sarawak

ByDouglas Elliot

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Kerajaan akan membelanjakan lebih RM206.78 juta untuk menyelesaikan isu 600 menara telekomunikasi tanpa ‘kuali’ di Sarawak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, peruntukan ini melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Kewangan dan syarikat-syarikat telekomunikasi terlibat.

“Ini bagi memastikan menara telekomunikasi yang dibina oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

“Daripada 600 menara berkenaan, sebanyak 169 menara Smart600 telah menyediakan perkhidmatan 4G setakat 22 Mac dan ini merupakan perkembangan baik kerana sebelum ini menara-menara berkenaan tidak berfungsi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu dalam sesi Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dalam Dewan Rakyat, Fahmi berkata isu menara kosong sering terkait dengan isu berkaitan kontrak.

“Setakat ini, terdapat sejumlah menara yang telah disiapkan namun masih banyak yang sedang diusahakan dan ini melibatkan isu perjanjian kontrak antara syarikat telekomunikasi dengan pihak yang menyediakan menara berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Edwin Banta (Gabungan Parti Sarawak – Selangau) mengenai menara telekomunikasi yang tidak berfungsi di kawasan beliau.

Dalam pada itu, Fahmi juga memberitahu kerajaan sedang meneliti beberapa teknologi baharu untuk membantu menyelesaikan isu internet di Malaysia termasuklah Low Earth Orbit (LEO) seperti Starlink yang kini dalam fasa bukti konsep, selain Fixed Wireless Broadband dan Direct to Device.

“Ini sangat bersesuaian kerana kita tidak perlu bergantung harap kepada menara untuk mendapat liputan tetapi kita boleh menggunakan telefon bimbit kita untuk berkomunikasi terus dengan satelit.

“Ini teknologi baharu yang mungkin akan dilaksana sekitar 2025,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan