Search
Close this search box.
NETR selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang sedang giat meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui. Foto, Alex Teo (TVS), Envato.

Parlimen: NETR wajar diperluaskan ke Sarawak, selari aspirasi ekonomi hijau cetusan Abang Johari

BySteward Dawi

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) wajar diperluaskan di seluruh negara terutamanya Sarawak, kata Dato Henry Sum Agong.

Ahli Parlimen Lawas itu berkata, ini kerana NETR selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang sedang giat meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui.

Jelas beliau, sudah tiba masanya negara beralih menggunakan tenaga hijau yang mampu mengurangkan fenomena perubahan iklim dan pemanasan global.

“Tenaga hijau (hidrogen, solar, angin) ini juga menelan kos yang lebih murah, mesra alam serta kurang memberi impak negatif kepada alam sekitar.

“Kalau kita lihat tenaga tradisional (bahan api fosil) menyebabkan masalah terutamanya apabila musim kemarau atau cuaca panas,” katanya kepada TVS di Parlimen hari ini.

Kerajaan pada tahun lepas melancarkan NETR Fasa Pertama dengan memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin meluas yang akan membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

NETR akan membantu mengubah ekonomi negara dengan membuka usaha sama menguntungkan yang juga baik untuk alam sekitar dan ekonomi.

Sementara itu Henry berkata, NETR juga memberi kebaikan dalam tempoh jangka panjang dan seharusnya dilaksanakan meliputi semua kawasan di Sarawak.

“Menerusi NETR, ia mampu menarik pelaburan syarikat luar ke Malaysia khasnya dan Sarawak amnya yang mempunyai minat (malah telah buktikan kesungguhan) dalam penjanaan kuasa hijau dan boleh diperbaharui ini.

“Selain itu, secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam bidang berkaitan tenaga hijau,” katanya.

Henry menjelaskan, di Lawas sebelum ini Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melawat ke Stesen Mini Janakuasa Hidroelektrik (HEP) Kota 2 yang merupakan empangan melata untuk menjana tenaga mampan di seluruh daerah Lawas.

Namun katanya penjanaan kuasa itu masih tidak cukup menampung permintaan dan keperluan penduduk di Lawas yang semakin bertambah.

Sebelum ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata, NETR juga membuka pintu masuk hidrogen di Sarawak semasa ia melaksanakan projek untuk muncul sebagai hab hidrogen di negara ini, dan melaksanakan rangka kerja penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) supaya projek pemangkin boleh dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan