Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri bersama para penerima Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska. Foto Salasiah Safian (TVS).

Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska Sarawak manfaatkan 54 kanak-kanak di Sarawak

BySalasiah Safian

KUCHING, 18 Mac: Sebanyak peruntukan RM116,220 telah diluluskan untuk Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah itu akan memberi manfaat kepada 54 orang kanak-kanak yang layak di 27 taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar.

Menurutnya, kementeriannya amat mengalu-alukan ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak ke taska berdaftar untuk membuat permohonan Subsidi Yuran Pengasuhan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian.

“Bagi Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska, Kementerian telah membelanjakan peruntukan sebanyak lebih RM3.2 juta (RM3,214,835) pada tahun 2021 yang telah memberi manfaat kepada 1,530 kanak-kanak seluruh negara.

“Pada tahun 2022 pula, peruntukan sejumlah RM3 juta (RM3,093,225) telah dimanfaatkan oleh 1,483 orang kanak-kanak. Pada tahun 2023 pula, sebanyak 1,383 kanak-kanak mendapat manfaat dengan peruntukan berjumlah RM2.8 juta (RM2,840,460),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Kenderaan di sini hari ini.

Kadar maksimum pemberian subsidi yuran pengasuhan adalah sebanyak RM180 sebulan bagi seorang kanak-kanak. Jika yuran pengasuhan kanak-kanak lebih rendah daripada kadar subsidi, maka subsidi diberi mengikut kadar yuran dikenakan.

Sebaliknya, jika yuran pengasuhan kanak-kanak lebih tinggi daripada kadar subsidi, maka lebihan perbezaan yuran tersebut adalah di bawah tanggungan ibu bapa atau penjaga.

Sementara itu bagi Insentif Taska Komuniti (taskom) pula, kerajaan telah meluluskan subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan.

Ia diberikan kepada ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak ke taskom dengan pendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

Peruntukan RM464,725 yang memberi manfaat kepada 221 kanak-kanak telah disalurkan pada tahun 2021 bagi Subsidi Yuran Pengasuhan Taska Komuniti seluruh negara.

Pada tahun 2022, sejumlah RM354,420 peruntukan telah dimanfaatkan 164 orang kanak-kanak.

“Manakala peruntukan sebanyak RM275,220 telah dibelanjakan pada tahun 2023 dengan 153 kanak-kanak mendapat manfaat.

“Untuk Subsidi Yuran Pengasuhan Taska Komuniti, pada tahun 2024, Sarawak diluluskan peruntukan berjumlah RM8,640 dengan memberi manfaat kepada empat orang kanak-kanak,” ujarnya.

Setakat ini sebanyak 3,083 taska berdaftar di seluruh negara dengan 62,317 orang kanak-kanak.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 125 taska telah berdaftar dengan bilangan kanak-kanak seramai 2,391 orang di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan