Search
Close this search box.
Thian Hon Yuan (dua dari kiri) berkongsi pengalaman ketika menjadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara. Foto Alex Teo (TVS)

Parlimen: Saya diacukan pistol, dipaksa naik sampan rentas sempadan antarabangsa

ByOdleen Catherny

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Seorang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia berkongsi pengalaman mengerikan apabila dia diacukan pistol ketika berada di Thailand.

Thian Hon Yuan berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dipaksa menaiki sampan untuk merentasi sempadan ke Myanmar.

Katanya, pengalaman selama tiga bulan sebagai tahanan oleh sindiket berkenaan cukup menyeksakan malah masih trauma hingga hari ini.

“Namun saya memilih untuk tampil ke hadapan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

“(Sebenarnya) saya kenal dengan lelaki ini (anggota sindiket) selama setahun sebelum ke sana malah sempat buat beberapa kerja secara dalam talian dengannya. Selepas itu, dia ajak saya ke Thailand untuk kerja baharu, di situlah mimpi ngeri bermula,” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, di Bilik Media Parlimen, hari ini.

Bercerita lanjut, kata Hon Yuan selama tiga bulan di sana dia dipaksa melakukan pelbagai tugasan dan terpaksa akur.

“Ada mangsa yang ingkar, mereka akan dipukul, dibiarkan lapar dan tidak dibenarkan tidur,” katanya.

Ditanya bagaimana dia dapat menyelamatkan diri, Hon Yuan berkata, dia terselamat apabila perang tercetus di Myanmar pada 2021.

“Saya dan beberapa mangsa mengambil kesempatan untuk lari dan menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO),” katanya.

Sementara itu, menurut statistik MHO, sekitar 600 hingga 700 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia pada tahun lepas.

Pegawai Hubungan Awam MHO, Daniel Khoo berkata, sejak 2022 hingga kini, pihaknya percaya terdapat lebih seribu rakyat Malaysia masih terperangkap di Myanmar.

Sementara itu, Chean Chung mencadangkan agar kesedaran dalam kalangan masyarakat dipertingkatkan bagi mengurangkan lebih ramai menjadi mangsa.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya melarang mangsa yang diselamatkan untuk ke luar negara bagi tempoh tertentu.

“Saya syorkan tempoh pembekuan selama dua tahun supaya mereka tidak berpatah balik ke negara-negara tersebut,” katanya.

Asas kepada cadangan itu jelas beliau kerana terdapat kes berulang melibatkan mangsa yang diselamatkan.

“Statistik MHO mendakwa 80 peratus mangsa tahu (akan menjadi mangsa sindiket) tetapi tetap hendak pergi ke sana.

“Ini termasuklah pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa ada kes berulang yang mana mangsa sudah jadi pekerja yang pakar di luar negara,” katanya.

Tambah beliau terdapat mangsa yang diselamatkan namun pergi semula ke negara berkenaan dalam tempoh tiga bulan selepas itu.

“Selepas itu minta diselamatkan lagi,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan