Search
Close this search box.
Lebih 40,000 penghuni di 88 buah rumah panjang di Telang Usan di utara Sarawak berharap sebahagian peruntukan pembangunan berjumlah RM5.8 bilion untuk negeri itu dalam Belanjawan 2024, disalurkan bagi menaik taraf 1,000 kilometer (km) jalan balak di kawasan berkenaan. Foto hiasan Envato.

Penduduk rumah panjang harap jalan balak di Telang Usan dinaik taraf

KUCHING, 15 Mac: Lebih 40,000 penghuni di 88 buah rumah panjang di Telang Usan di utara Sarawak berharap sebahagian peruntukan pembangunan berjumlah RM5.8 bilion untuk negeri itu dalam Belanjawan 2024, disalurkan bagi menaik taraf 1,000 kilometer (km) jalan balak di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau berkata jalan balak peninggalan aktiviti pembalakan sekitar 80-an dan 90-an itu, perlu dinaik taraf memandangkan ia menjadi rangkaian perhubungan bagi penduduk di kawasan berkenaan.

“Kedudukan kampung serta rumah panjang yang terdiri daripada kaum Penan, Kayan dan Kenyah di Telang Usan ini bertaburan dan tidak hanya tertumpu pada satu kawasan sahaja.

“Telang Usan mempunyai 1,000km jalan balak dan sekiranya kos untuk membuat jalan sejauh 1km dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta bayangkan berapa peruntukan diperlukan untuk kita naik taraf semua, ia pasti melibatkan kos dan masa,” katanya kepada Bernama.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.8 bilion untuk Sarawak, lebih tinggi berbanding RM5.6 bilion dalam Belanjawan 2023.

Sementara itu, Dennis berkata penglibatan wakil rakyat dalam perancangan dan pengagihan peruntukan penting kerana mereka lebih memahami keperluan sekali gus dapat mengoptimumkan dana tahunan agar sampai kepada akar umbi.

Menurutnya, penubuhan agensi pembangunan ekonomi mengikut kawasan seperti penubuhan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Sarawak pada 2017 dapat menjadi contoh dalam mencapai misi yang lebih fokus.

“Melalui HDA, sebanyak RM750 juta telah diperuntukkan bagi kawasan Telang Usan, saya selaku wakil rakyat kawasan juga boleh terlibat sama dalam merancang bagi membina jalan raya,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan