Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Datuk Dr Juanda Jaya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini. Foto TVS

Agensi kerajaan wajar miliki sistem kawal selia kewangan lebih baik

ByDouglas Elliot

KUCHING, 12 Mac: Jabatan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran agar bersikap telus dalam pengurusan kewangan terutamanya dalam hal kutipan hutang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata amalan ini selaras dengan saranan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mewujudkan sistem urus tadbir yang lebih cekap dan berintegriti tinggi.

“Kita dapati ada satu PBT yang mempunyai hutang kumulatif yang tidak dikutip sejak 2002 yang kini mencecah RM38 juta.

“Premier mencadangkan agar agensi-agensi yang mempunyai kutipan hutang tertunggak seumpamanya untuk mewujudkan sistem kawal selia yang lebih baik dan memaklumkan pemiutang untuk membayar hutang serta mengambil tindakan perundangan sekiranya perlu,” katanya.

Juanda yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

CABCOM di bawah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak ditubuhkan bagi mengkaji, meneliti dan memberi cadangan terhadap Penyata Kewangan Tahunan dan Anggaran Belanjawan Tahunan bagi Badan Berkanun Negeri dan PBT sebelum dibentangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam masa yang sama, Juanda yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) menasihati badan berkanun agar berbelanja sejajar dengan sumber kewangan mereka.

“Kita dapati ada sesetengah badan berkanun yang jumlah perbelanjaan mereka mengatasi jumlah pendapatan. Di Sarawak, kita ambil tindakan awal bagi memastikan ketirisan tidak berlaku dan berbelanja mengikut kemampuan,” katanya.

Ujarnya, pengurusan kewangan yang tidak efisien oleh badan berkanun akan menjejaskan pendapatan kerajaan.

Justeru, beliau menekankan perancangan kewangan yang baik.

“Secara keseluruhannya, laporan audit Sarawak bersih dan pengurusan kewangan adalah cemerlang dengan hanya empat daripada 52 agensi yang mendapat teguran Jabatan Audit Negara berikutan isu teknikal.

“Bagaimanapun, Premier menyatakan hasrat agar laporan audit Sarawak bukan hanya bersih tanpa teguran tetapi dengan penambahbaikan itu tadi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan