Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof bergambar bersama jemaah yang hadir solat subuh di Masjid Al-Quddus Taman Sri Wangi Petra Jaya. Foto TVS

Tuntutan Kumpulan Sulu: Malaysia tetap pendirian pertahan kedaulatan wilayah

KUCHING, 10 Mac: Malaysia akan terus mempertahankan pendirian dan kedaulatannya dari sebarang bentuk tuntutan remeh kumpulan digelar sebagai United Tausug Citizens (UTC) yang mendakwa sebagai penjaga sah wilayah Kesultanan Sulu ke atas Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut sedang diuruskan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said untuk menangkis sebarang tindakan yang akan diambil oleh kumpulan tersebut.

Malaysia kata beliau, sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatannya dan berdasarkan keputusan sebelum ini Malaysia telah berjaya mengenepikan tuntutan tersebut di seluruh Eropah yang dilakukan berdasarkan tuntutan palsu dikeluarkan oleh penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa.

“Kes ini (tuntutan kumpulan Sulu) sudah nyata bahawa kemenangan adalah di pihak kita, oleh kerana itulah mereka akan pergi ke serata dunia untuk mencari peluang dan saya syak mereka ini ada pelabur dana di belakang mereka.

“Justeru, kita akan sentiasa bersiap sedia dengan apa sahaja tindakan kumpulan ini, Malaysia akan melakukan pembelaan diri dan memastikan setiap tuntutan kumpulan Sulu ini akan dilawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pelepasan acara Fajr and Run Subuh Macam Jumaat di Masjid Al-Quddus Taman Sri Wangi Petra Jaya di sini, hari ini.

Terdahulu, Dato’ Sri Azalina menegaskan percubaan terkini kumpulan UTC itu sesuatu yang remeh untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia serta memeras wang secara tidak berasas daripada Malaysia.

Tegasnya, Kesultanan Sulu sudah tidak wujud selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa.

Malah, hukuman penjara selama enam bulan ke atas Dr Stampa oleh Mahkamah Jenayah Madrid serta larangan daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun merupakan bukti penyalahgunaan jenayah terhadap proses timbang tara sehingga menyebabkan ketidakadilan dialami Malaysia. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan