Search
Close this search box.
Seorang pegawai alam sekitar sebuah syarikat swasta kerugian lebih RM18, 000 akibat ditipu seorang lelaki yang menyamar Andy Lau dalam satu kes penipuan membabitkan pembelian kereta melalui laman media sosial Facebook di sini. Foto hiasan Envato.

Parlimen: Akta baharu banteras ‘scammer’ turut libatkan tindakan terhadap bank yang cuai

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa penggubalan Rang Undang – Undang (RUU) baharu untuk membanteras kegiatan penipuan dalam talian akan turut melibatkan tindakan terhadap institusi kewangan yang cuai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, akta baharu itu antara lain akan memperincikan penguatkuasaan bagi meningkatkan keselamatan digital secara terperinci.

Kata beliau, ini selaras dengan keperluan semasa serta keperluan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat.

“Bank (juga) perlu bertanggungjawab dan tidak boleh mengelakkan diri (membantu) sekiranya terdapat pelanggan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Jika ada bank yang berbuat demikian (tidak bertanggungjawab, perlu) rujuk agensi (yang) berkenaan supaya tindakan diambil. (Oleh itu) RUU yang sedang dikaji merangkumi semua perkara,” katanya di sini hari ini.

Kulasegaran menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan – Kota Melaka) yang ingin tahu sama ada RUU baharu itu kelak akan melibatkan tindakan terhadap institusi kewangan yang cuai sehingga menyebabkan pelanggan mereka kehilangan wang dalam akaun.

Terdahulu, Kulasegaran memaklumkan, bagi tempoh 2020 hingga tahun lepas, sebanyak 107, 716 kes penipuan dalam talian direkodkan melibatkan kerugian mencecah RM3.2 bilion.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akta baharu juga akan mempercepatkan kes pendakwaan terhadap scammer.

Berhubung isu sama, Kulasegaran menjelaskan, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022 juga merupakan antara tindakan kerajaan untuk membanteras kegiatan ‘scammer’.

Jelas beliau, NSRC berfungsi sebagai pusat respon pantas yang boleh dihubungi menerusi panggilan pantas kepada talian 917.

“NSRC menggabungkan (kepakaran) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan disokong oleh institusi kewangan dan syarikat komunikasi,” jelasnya.

Katanya, antara respon pantas termasuklah menjejaki dana dan usaha ini berupaya menyekat hasil pelupusan penipuan.

“Sebaik sahaja aduan diterima (NSRC) dengan dibantu institusi kewangan mampu mengesan jejak kewangan mangsa dan sekiranya wang masih berada dalam sistem kewangan, sekatan boleh dilaksanakan dan dapat halang pelupusan wang mangsa dan boleh dikembalikan,” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan