Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu Datuk Mutang Tagal di Istana Negara baru- baru ini. Foto, Bernama.

Titah Agong kepada Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara harus dipatuhi – Mutang

ByBernama

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya menunjukkan contoh yang baik ketika bersidang harus dipatuhi bagi memastikan kualiti perbahasan dapat dipertingkat sekali gus memupuk sifat saling menghormati sesama Ahli Dewan.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal berkata berdasarkan sesi persidangan lepas yang boleh ditonton secara langsung menerusi kaca televisyen dan media sosial, sesetengah Ahli Dewan dilihat menunjukkan tabiat kurang sopan serta suka memaki hamun.

Beliau berkata sebagai Ahli Parlimen yang dipilih rakyat dan Senator berpengalaman dalam pelbagai bidang, mereka sepatutnya menyuarakan kepentingan dan permasalahan rakyat bukannya membangkitkan isu politik yang tidak berkesudahan serta saling memburukkan antara satu sama lain.

“Pada akhirnya, rakyat ingin tahu sama ada kebimbangan mereka seperti kos sara hidup boleh diselesaikan manakala infrastruktur seperti kesihatan, perkhidmatan sosial dan pendidikan disediakan untuk mereka bukan hanya di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar.

“Untuk Ahli Dewan Negara, semua itu adalah perkara yang senator perlu bangkitkan, jangan bawa isu politik semata-mata, kita tidak mahu dilihat sebagai pak turut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja memberikan lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara yang melampaui batas ketika bersidang.

Seri Paduka Baginda dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini bertitah tindakan termasuk mengenakan penggantungan selama 14 hari kepada Ahli Parlimen terbabit jika mereka masih berdegil.

Mutang berkata ruang perbahasan yang ada harus digunakan sebaik mungkin bagi membincangkan isu semasa untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang timbul dan pada masa sama,  emosi dan perasaan perlu dikawal ketika persidangan berlangsung.

“Mereka harus menguasai diri sendiri dan perasaaan supaya dapat memberikan perbahasan yang baik, bernas dan jangan bercakap perkara remeh-temeh sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara,” kata beliau yang baharu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 19 Feb lepas. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan