Search
Close this search box.
Dato Lukanisman Awang Sauni berkata projek pembinaan kuarters petugas kesihatan Labuan bernilai RM24 juta yang dianggap sebagai ‘projek sakit’ sedang menjalani kajian semula secara menyeluruh sebelum ia ditender semula. Foto JaPen Labuan

Projek kuarters petugas kesihatan Labuan bernilai RM24 juta akan ditender semula

LABUAN, 23 Feb: Projek pembinaan kuarters petugas kesihatan Labuan bernilai RM24 juta yang dianggap sebagai ‘projek sakit’ sedang menjalani kajian semula secara menyeluruh sebelum ia ditender semula, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan sedang mengkoordinasikan dokumentasi bagi proses tender semula sementara menunggu penetapan kos siling baharu dari Unit Perancang Ekonomi (UPE).

“Kami di KKM (Kementerian Kesihatan) sebagai pengguna akhir menyerahkan keseluruhan proses tender semula itu kepada JKR.

“Kami harap prosesnya dapat dipercepatkan tahun ini bagi memastikan kontraktor baru dapat mematuhi jadual projek,” katanya kepada media selepas melawat projek berkenaan di Membedai hari ini.

Lukanisman berkata pihaknya amat mengharapkan penyelesaian yang pantas dicapai kerana kelewatan lebih lanjut boleh menyebabkan peningkatan kos.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan semasa melawat Labuan pada 24 Jan lepas berkata projek itu telah jauh ketinggalan daripada jadual asal, dengan hanya mencapai 23 peratus kemajuan walaupun sepatutunya dijadualkan siap pada 29 Jun 2023.

Projek yang dianugerahkan pada 2022 itu melibatkan pembinaan empat rumah berkembar kelas-D, blok apartmen lima tingkat dengan 18 unit dan satu lagi blok lima tingkat dengan 16 unit.

Sementara itu Lukanisman berkata Dewan Serbaguna Jabatan Kesihatan Labuan yang siap pada 2023 adalah antara projek infrastruktur kesihatan di Labuan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Katanya projek-projek KKM lain di Labuan termasuk projek Farmasi Steril di Hospital Labuan bernilai RM6.5 juta yang siap pada 2023, pemasangan Gas Perubatan untuk Hospital Labuan (RM14 juta, siap 2026) dan Projek Klinik Kesihatan Bebuloh (RM26 juta, siap 2027).

“Projek-projek lain termasuk kerja-kerja naik taraf klinik-klinik luar bandar di Lubok Temiang, Sungai Keling dan Batu Manikar serta perkhidmatan Imej Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Labuan, dengan perolehan pada 2024 berjumlah RM4.1 juta,” katanya.

Beliau berkata bilangan pakar di Hospital Nukleus Labuan (Hospital Labuan) pula akan ditingkatkan bagi memenuhi permintaan meningkat daripada pesakit yang menghadapi pelbagai penyakit kronik.

Katanya inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keupayaan hospital umum dengan menggabungkan pelbagai perkhidmatan pakar.

“Hospital Labuan mempunyai pegawai perubatan dan kakitangan sokongan yang mencukupi, tetapi kami sedar bahawa pesakit bagi penyakit tertentu perlu segera dipindahkan ke hospital utama di tanah besar Sabah,” tambahnya.

Lukanisman berkata pihak kementerian sedar akan cabaran yang dihadapi penduduk Labuan apabila terpaksa ke tanah besar Sabah untuk rawatan perubatan, termasuk dalam isu tiket kapal terbang yang mahal dan kesukaran mendapatkan tiket feri pada waktu tertentu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan