Search
Close this search box.
Rata-rata kakitangan awam menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian itu, yang dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Foto hiasan Envato

Bayaran insentif awal tampung keperluan sekolah, puasa dan raya

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 yang diterima penjawat awam hari ini, disifatkan tepat pada masanya dan mengubat keresahan kebanyakan penjawat awam dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak, serta keperluan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Rata-rata kakitangan awam yang ditemui Bernama menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian itu, yang dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Di SARAWAK, Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Umum Sarawak Nur Farlina Abdullah, 39, yang juga seorang ibu tunggal berkata bayaran insentif awal itu, dapat membantu membiayai keperluan lima anaknya yang masih bersekolah.

Pada masa yang sama, beliau tetap akan berjimat cermat dengan mengambil kira perjalanan tahun ini yang masih panjang.

Di SABAH, Penolong Akauntan Angie Everlyn Amau, 41, dari Berunggis, Tuaran berkata insentif itu, dapat membantunya menambah jumlah serta kualiti kelengkapan sekolah terutama baju dan kasut untuk empat anaknya.

“Selalunya barang kita pilih paling murah dan tidak beli banyak kerana bajet, tetapi barang murah ini tidak sampai enam bulan rosak, kerana kualiti rendah dan pakai banyak kali. Ada bajet lebih, boleh beli barang lebih tahan dan banyak macam kasut beli tiga pasang ganti-ganti pakai, tidak cepat rosak,” katanya.

Di KEDAH, seorang anggota polis Isma Ismail, 42, dari Mergong, Alor Setar berkata pemberian itu, akan digunakan untuk menyediakan keperluan persekolahan tiga anaknya di sekolah rendah, yang berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

“Tahun ini, kalau ikutkan memang pening fikirkan pelbagai kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Awal bulan Mac sudah mula sesi persekolahan, selepas itu terus bersambung dengan bulan Ramadan dan kemudian Syawal pula,” katanya.

Di PAHANG, seorang pendidik Siti Mazura Shaikh Mustafa, 44, berhasrat menggunakan sebahagian wang itu untuk membeli cenderahati, sebagai galakan kepada muridnya yang bakal melangkah ke alam persekolahan.

“Selain untuk persiapan raya nanti, saya akan gunakan wang ini untuk membeli hadiah kepada murid supaya mereka bersemangat dan ceria untuk datang ke sekolah. Pemberian insentif ini sememangnya menggembirakan saya dan tidak salah saya juga kongsikan perasaan itu dengan anak-anak murid,” katanya.

Bagi Syafiq Ismail, 29, beliau berterima kasih kepada kerajaan di atas inisiatif berkenaan dan pemberian itu cukup membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap keperluan rakyat, yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai penjawat awam hampir 10 tahun, rasanya ini kali pertama insentif dengan jumlah yang banyak diberikan sekali gus, dan bantuan ini memang tepat pada masanya serta membantu kita buat pelbagai persiapan terutama berkaitan anak,” katanya.

Di MELAKA, seorang guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Norshamila Che Sabu yang mengajar di Tambak Sebelong Telok Mas berkata pemberian itu, secara langsung akan mengembirakan anak-anak yang akan memasuki persekolahan, terutama murid darjah satu atau prasekolah.

“Saya sejujurnya memang tidak sabar dengan pemberian tersebut, kerana pertembungan antara cuti sekolah, pembukaan sekolah dan puasa memang memerlukan perbelanjaan yang besar, dan pemberian ini dapat menampung sedikit sebanyak terutama dalam keadaan ekononi yang sangat mencabar,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan