Search
Close this search box.
Datuk Aidel Lariwoo mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Jalan Pasi-Tanjung Manis bersama Datuk Len Talif Salleh di Sarikei, hari ini. Foto TVS.

Projek pembinaan Jalan Pasi-Tanjung Manis dijadual siap Mei tahun depan

SARIKEI, 20 Feb: Projek pembinaan Jalan Pasi-Tanjung Manis yang turut merangkumi pembinaan Jambatan Batang Rajang bernilai RM321 juta kini mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya Mei tahun depan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, pelaksanaan projek membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 17 kilometer itu kini berjalan lancar dan mencapai kemajuan 86 peratus.

Berdasar prestasi yang sangat positif itu katanya, beliau optimis projek berkenaan mampu siap lebih awal berbanding jadual sebenar.

“Saya difahamkan, kemajuan projek hampir dua peratus mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.

“Malah, kita juga telah dimaklumkan span (rentang) terakhir jambatan ini siap selewat-lewatnya pada September tahun ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek hari ini.

Lawatan berkenaan disertai Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Menurut Aidel, projek tersebut merupakan satu daripada pakej pembinaan jalan pesisir di bawah pelaksanaan kerajaan Sarawak bertujuan memudahkan perhubungan di samping memperkasa potensi ekonomi penduduk luar bandar.

Selain laluan itu ujarnya, Sarawak juga memiliki pakej jalan pesisir dari Sematan hingga ke Miri termasuk beberapa jambatan utama.

“Tidak sekadar itu, jajaran jalan utama kedua melintasi sepanjang kawasan luar bandar antara jalan pesisir dan Lebuhraya Pan Borneo dijangka menyumbang kepada pembangunan luar bandar,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan