Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcom Mussem Lamoh hadir pada Majlis Penutupan Program Randau Akademik 2024 di Rumah Panjang Francis James Bada di Skarok Lubok Antu pada Ahad. Foto,TVS.

Perluas Program Randau Akademik di kawasan pedalaman

LUBOK ANTU, 19 Feb: Program Randau Akademik amat penting dalam membawa kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar tentang keperluan pendidikan demi menjamin masa depan yang cemerlang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussem Lamoh berkata, program itu sangat bersesuaian jika diperluaskan lagi khususnya kepada penduduk di kawasan pedalaman agar mereka dapat mengutamakan pendidikan anak-anak.

Jelasnya, program itu akan dapat membuka hati dan minda masyarakat dalam menentukan hala tuju pendidikan anak mereka agar memperoleh masa depan yang cemerlang.

“Program seperti ini sangat berguna kepada mereka khusus di kawasan pedalaman kerana kita perlu meningkatkan kesedaran ibu bapa berkenaan tanggungjawab mereka kepada pendidikan anak-anak. Ia bertujuan agar mereka ada hala tuju dan sasaran mengatur langkah kehidupan kerana kalau kita tidak ada pendidikan, susah kita hendak membuat perancangan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Randau Akademik 2024 di Rumah Panjang Francis James Bada di Skarok Lubok Antu semalam.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM300,000 yang diserahkan kepada beberapa persatuan dan pertubuhan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Tambahnya, Batang Ai mempunyai tabung pendidikan yang bertujuan membantu anak-anak yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Ujarnya, ibu bapa boleh memohon bantuan secara one off ini bagi meringankan perbelanjaan yang ditanggung mereka untuk keperluan pendidikan anak-anak mereka.

“Kanak-kanak di Batang Ai ini memang saya galakkan untuk mementingkan pendidikan. Sebab itu kami tubuhkan tabung pendidikan ini kepada mereka yang melanjutkan pelajaran dalam Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Phd,” jelasnya.

Dalam pada itu,Pengerusi Sarawak Dayak Educators Association (SDEA) Zon Miri Dr Nelson Tandang Edwin Unting berkata, pelaksanaan Program Randau Akademik yang bertujuan berkongsikan maklumat pendidikan negara sedikit perlahan berikutan kos perbelanjaan yang perlu ditanggung.

Menurutnya, usaha meluaskan program ini ke serata Sarawak terutama di kawasan pedalaman bergantung kepada kewangan yang dimiliki SDEA, mereka banyak bergantung kepada sumbangan wakil rakyat yang tidak pernah berat tangan membantu SDEA dalam melaksanakan program-program itu.

“Program ini bukan sahaja terhad kepada masyarakat Dayak di sesuatu kawasan itu tetapi juga terbuka bagi mereka yang berbangsa lain,” ujarnya.

Program randau akademik SDEA di Rumah Panjang Francis James Bada di Skarok Lubok Antu berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Februari 2024 dengan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan antaranya ceramah tanggungjawab ibu bapa dalam pelajaran, motivasi pelajar dalam kehidupan dan pendedahan adat turun temurun Iban. -TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan