Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
示意图

Koridor metropolis kesihatan isyarat Sarawak sedia urus perkhidmatan kesihatan sendiri

ByAmirah Shawel

KUCHING, 19 Feb: Hasrat untuk mewujudkan koridor metropolis kesihatan di Kota Samarahan adalah isyarat kesediaan Kerajaan Sarawak untuk menguruskan dan mentadbir perkhidmatan kesihatannya sendiri.

Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Helmy Hazmi berkata, penurunan kuasa autonomi kesihatan kepada Sarawak membolehkan Sarawak menentukan perkhidmatan terbaik mengikut keperluan kesihatan rakyatnya.

“Koridor metropolis kesihatan adalah projek pembangunan kemudahan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi kepada penduduk Sarawak.

“Sekiranya Sarawak tidak diberikan autonomi untuk menentukan apa yang terbaik untuk penduduknya sendiri, bayangkan kesannya. Ditambah lagi dengan kerenah birokrasi yang memanjangkan lagi proses,” katanya ketika dihubungi TVS.

Dalam pada itu, beliau berkata, penurunan kuasa itu juga adalah mustahak melihat kepada perbezaan keperluan penjagaan dan tatakelola kesihatan di Sarawak.

Menurutnya, demografi penduduk dan tahap kemudahan yang diperlukan di Sarawak adalah berbeza dengan di Semenanjung Malaysia.

“Sebagai contoh, vaksin Japanese Ensefalitis (JE) yang diberikan kepada bayi di Sarawak adalah perlu mengikut jadual dan tidak di tempat lain memandangkan ia endemik di sana.

“Oleh itu, Sarawak berhak untuk menentukan apa yang penting untuk memastikan penduduk sentiasa mendapat manfaat perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian optimis Kota Samarahan akan menjadi koridor metropolis kesihatan pertama Sarawak.

Kawasan itu akan dilengkapi dengan pusat kesihatan dan penyelidikan seperti Pusat Kanser Sarawak, Pusat Jantung Sarawak (SHC), Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak, dan Hospital UNIMAS. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan