Search
Close this search box.
Robert James (kiri) Anita Enda (kanan) merupakan antara mangsa banjir yang berlindung di PPS Dewan Masyarakat Stapok yang dibuka sejak Jumaat. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

Penduduk letih, tidak sanggup hadapi banjir berulang saban tahun

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 17 Feb: ‘Penat dan tidak sanggup lagi hadapi keadaan banjir kilat setiap tahun’, demikian luahan seorang suri rumah, Anita Enda, 57 yang berlindung di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Stapok sejak semalam setelah kediamannya di Taman Desa Wira dinaiki air.

Hujan lebat berterusan sejak pagi Jumaat menyebabkan rumahnya ditenggelami air sehingga paras pinggang sekali gus memaksa ibu kepada dua orang anak itu untuk berpindah sehelai sepinggang ke PPS berdekatan atas faktor keselamatan.

“Semasa air mula naik, saya rasa cemas sedikit sebab memikirkan keselamatan diri, anak-anak dan keluarga. Saya terpaksa ambil keputusan untuk tinggalkan rumah sebab air semakin tinggi.

“Sewaktu keluar dari rumah, saya tidak dapat bawa barang lain, cuma dapat bawa sehelai tuala sahaja, pakaian pun tidak sempat,” katanya ketika ditemui TVS di PPS Dewan Masyarakat Stapok di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anita berkata, dirinya sudah lali dan berasa penat dengan banjir berulang yang berlaku saban tahun sehingga membuatkannya kecewa dan putus asa dengan musibah yang menimpa.

“Sudah berapa kali kami menghadapi banjir sehingga membuatkan diri ini tidak berniat langsung untuk membeli barang untuk rumah disebabkan memikirkan setiap kali beli barang baharu, pasti akan rosak akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Robert James, 53, meluahkan perkara sama dengan menyifatkan kawasan itu sering dinaiki air setiap kali taburan hujan luar dari kebiasaaan.

“Selama saya tinggal di sini, ini sudah empat kali berlaku. Banjir kali ini agak teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.

Setakat jam 1 tengah hari ini, seramai 172 mangsa daripada 45 keluarga berlindung di PPS itu susulan kediaman mereka ditenggelami air. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan