Search
Close this search box.
Tiga individu termasuk Pengerusi Eksekutif serta Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 164 pertuduhan. Foto hiasan Envato

Tiga termasuk Pengerusi Eksekutif dan CEO Aman Palestin berdepan 164 pertuduhan

ByBernama

SHAH ALAM, 15 Feb: Tiga individu termasuk Pengerusi Eksekutif serta Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta dana milik badan itu antara 2018 dan 2023.

Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Awang Suffian Awang Piut, 52, serta pengarah syarikat pelaburan Khairudin Mohd Ali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing berdepan 52 pertuduhan sebagai pengarah syarikat Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan harta milik Aman Palestin iaitu wang berjumlah RM20,946,498.80 telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut di sebuah bank di Bandar Baru Bangi dekat sini antara 12 Mac 2018 dan 3 Nov 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh juga berdepan 19 dakwaan melakukan penipuan dengan memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,150,000 kepada Samudra Champa bagi pembelian emas sedangkan harganya adalah lebih rendah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Aman Palestin Berhad, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi antara 24 Sept 2021 dan 14 Julai 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa atas 19 pertuduhan sebagai pengarah syarikat Samudra Champa telah menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM12,833,772.16 sebagai bayaran bagi pembelian sebuah rumah semi-D, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyota Velfire bagi pihak Samudra Champa Sdn Bhd.

Khairudin pula berdepan tiga pertuduhan sama melibatkan wang berjumlah RM6,038,016.60 sebagai bayaran bagi pembelian lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang antara 1 Jun 2018 dan 3 Mei 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Anita membenarkan Abdullah Zaik dan Awang Suffian diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau membenarkan Khairudin diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat sama berkaitan dokumen perjalanan.

Mahkamah turut membenarkan separuh daripada nilai jaminan ketiga-tiga tertuduh dibayar hari ini dan bakinya sebelum atau pada 13 Mac depan serta menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa Fatin Farhana Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Siti Mardhiyyah Zamani. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan