Search
Close this search box.
Foto hiasan: Envato

Mudah cari rezeki antara punca warga asing enggan pulang ke negara asal

ByBernama

KUALA LUMPUR, 7 Feb: Matahari sudah tegak di ubun-ubun, namun suasana sebuah pasar pagi di Meru, Klang, Selangor ini masih sibuk dengan aktiviti perniagaan.

Pelanggan yang datang di penghujung waktu operasi kedengaran tawar-menawar, cuba mengurangkan harga serendah mungkin, mengambil peluang daripada keinginan peniaga yang mahu segera menghabiskan jualan mereka.

Di sebuah gerai jualan ayam segar, seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an dengan parasnya jelas menunjukkan dia bukan warga tempatan, sibuk memotong ayam untuk pelanggan.

“Saya dari Bangladesh dan sudah berniaga di sini sejak setahun lalu,” ujarnya tanpa berselindung apabila ditanya oleh Bernama.

Mahu dikenali sebagai Karim, lelaki bertubuh tegap dan sederhana tinggi itu mendakwa dia tidak ada pilihan selain berniaga secara haram selepas permit kerjanya di sebuah kilang pemprosesan barangan plastik di Selangor tidak dibaharui oleh majikan.

“Saya tidak peduli jika diserbu oleh pihak berkuasa, yang penting saya dapat kumpul sedikit duit untuk perbelanjaan sendiri dan dihantar kepada isteri serta dua orang anak yang masih kecil di Bangladesh,” katanya dalam bahasa Melayu yang tersekat-sekat.

Ditanya penyebab dia tidak pulang ke negara asalnya selepas permit kerja tamat tempoh, Karim mendakwa dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk berbuat demikian.

“Sekarang saya boleh dapat untung sekitar RM100 sehari daripada langsung tidak buat apa-apa,” katanya yang turut memiliki sebuah van bagi menjalankan perniagaannya itu.

Lelaki itu bagaimanapun enggan menjawab apabila ditanya sama ada dia merancang untuk pulang ke tanah airnya dalam masa terdekat, atas alasan takut ditangkap.

“Itu sebab saya mahu kumpul duit banyak-banyak sekarang. Kalau berlaku apa-apa saya sudah ada duit,” katanya lagi.

Menurut peniaga tempatan yang ditemui Bernama di pasar pagi berkenaan, Karim hanyalah seorang daripada puluhan warga asing yang berniaga di situ dengan rata-rata menjual barangan basah seperti sayur, ikan dan ayam.

“Kalau ada serbuan, mereka akan bertempiaran lari dan tinggalkan jualan begitu sahaja,” kata seorang peniaga yang enggan dikenali.

Kisah Karim ini secara tidak langsung mengesahkan keluhan rakyat tempatan, betapa kehadiran warga asing di negara ini semakin dirasai sekarang dan tidak semua melihatnya secara positif.

Mengulas isu itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Datuk Hishamuddin Hashim berpendapat warga asing terbabit melihat negara ini sebagai “syurga” bagi mereka mencari rezeki.

Justeru, beliau tidak menolak pandangan bahawa “keengganan” mereka yang telah tamat permit kerja pulang ke negara asal sebagai antara penyumbang kepada “lambakan” warga asing di negara ini sekarang.

“Mereka pada asalnya mempunyai dokumen sah seperti Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau Pas Lawatan Sosial (PLS) dengan kontrak atau tempoh tertentu, namun tidak diperbaharu atau menetap melebihi tempoh yang ditetapkan permit kerana senang untuk mereka cari rezeki di sini,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) mendedahkan terdapat 1.2 juta hingga 3.5 juta warga asing tanpa dokumen sah di negara ini setakat 2022.

Sumber Kementerian Dalam Negeri pula memberitahu Bernama setakat awal tahun ini, jumlah pekerja asing dalam enam sektor formal yang turut merangkumi pembinaan dan perkilangan, adalah sekitar dua juta orang – masih di bawah unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-12, iaitu 2.4 juta orang.

Menurut sumber itu, unjuran adalah berdasarkan ketetapan hanya 15 peratus warga asing dibenarkan bekerja di negara ini pada satu-satu masa, berbanding jumlah tenaga kerja tempatan. Pada masa ini terdapat kira-kira 17 juta pekerja tempatan dalam sektor yang berkenaan.

“Sekalipun berdepan risiko didenda RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan jika didapati bersalah melanggar syarat PLKS dan PLS, mereka seolah-olah tidak takut dengan undang-undang (kita). Inilah realitinya sekarang,” tambah Hishamuddin.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ramai pekerja asing yang diberhentikan semasa penularan COVID-19 memuncak di negara ini turut memilih melanggar undang-undang imigresen dengan tinggal secara haram.

“Dulu mereka tidak boleh balik ke negara asal kerana sempadan negara dah ditutup. Sekarang dah dibuka, tetapi mereka masih enggan balik. Kenapa berlaku sedemikian? Saya lihat pendorong utama adalah ekonomi,” ujarnya.

Tambah beliau, yang menimbulkan masalah sekarang adalah ramai warga asing terbabit telah menceburi sektor yang sepatutnya dikuasai oleh orang tempatan, seperti kedai runcit, perkhidmatan dobi serta pekerjaan juruwang di pasar raya dan lain-lain.

“Dalam hal ini, saya syorkan agar undang-undang lebih ketat diperkenalkan bagi mencegah warga asing terlibat dalam sektor perniagaan dan mengganggu ekonomi rakyat tempatan,” kata Hishamuddin.

Berdasarkan tinjauan dalam kalangan peniaga tempatan, terutama di pasar pagi dan malam di sekitar Lembah Klang, amat mudah untuk warga asing ini mengambil ruang berniaga sekalipun ada pihak yang menguruskan tapak perniagaan itu.

“Kami pun tertanya-tanya, bagaimana warga asing senang-senang sahaja masuk berniaga, sedangkan kami kena mohon dan bayar yuran,” keluh Hamidah (bukan nama sebenar), peniaga pasar pagi yang ditemui Bernama di Meru.

“(Keadaan) ini tidak adil bagi kami kerana kami perlu mohon permit berniaga daripada pihak berkuasa tempatan dan bayar sewa tapak, namun mereka boleh buka khemah berniaga tanpa lesen atau permit. Kami peniaga tempatan sangat tidak selesa dengan situasi ini.

“Bagaimana kami ingin kembangkan perniagaan kerana pembeli ada pilihan untuk membeli di ‘kedai haram’ ini?” soal wanita itu yang berniaga barangan dapur seperti bawang dan ubi kentang.

Mengulas isu itu, Timbalan Ketua Pusat Penyelidikan, Populasi dan Migrasi Universiti Malaya Prof Madya Dr Mashitah Hamidi tidak menyangkal bahawa kelakuan segelintir warga asing yang tidak menghormati resam komuniti setempat menambahkan lagi rasa kurang senang rakyat tempatan terhadap mereka.

“Mereka ini biasanya tinggal secara berkelompok dan seolah-olah dalam dunia mereka sendiri, selain tidak begitu memahami undang-undang membuatkan mereka berasa tidak dipantau. Keadaan inilah yang menyebabkan mereka lebih berani (berbuat apa sahaja) dan tidak hiraukan kesan daripada tindakan mereka,” ulas beliau kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau melihat dominasi warga asing di sesebuah kawasan berpunca daripada ketiadaan pemantauan secara berterusan.

“Selain itu, jika sempadan negara dijaga dan dikawal rapi seperti Australia contohnya, yang tahu arah tuju warga asing yang masuk ke negara mereka dengan terperinci. Jika pemantauan pas kerja atau lawatan sosial ini dapat dilakukan dengan konsisten, pastinya kita dapat membendung kejadian seperti ini daripada terus berlaku,” kata beliau.

Pandangan sama turut disuarakan oleh Ketua Sosial, Undang-undang dan Hak Asasi Manusia EMIR Research Jason Loh yang berkata tahap ketegasan pemantauan dan penguatkuasaan kemasukan warga asing ke negara ini masih agak rendah.

Merujuk sistem pengambilan pekerja asing, beliau berkata ada pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi sistem itu demi keuntungan berganda.

“Mereka ini menjadikan keperluan negara terhadap tenaga kerja asing sebagai jalan pintas untuk mengaut keuntungan lumayan. Mereka bawa masuk pekerja namun selepas itu dibiarkan tanpa pengawasan,” katanya, menambah majikan bertanggungjawab memastikan pekerja yang tamat permit kerja dihantar pulang ke negara asal.

Namun disebabkan oleh keengganan menanggung kos, majikan terbabit membiarkan bekas pekerja asing mereka menjadi pendatang tanpa izin.

“Apabila ini berlaku, keterdesakan hidup membuatkan mereka lakukan apa sahaja bagi mencari rezeki, termasuk berniaga secara haram. Malah, ada yang terlibat jenayah seperti rompak.

“Namun saya rasa kes jenayah sebegini bolehlah dianggap sebagai terpencil, bukan trend atau fenomena. Hal jenayah biasanya melibatkan unsur-unsur peribadi dan keindividuan, seperti keadaan mental seseorang pelaku atau warga asing yang merupakan seorang penjenayah ketika di negara asalnya,” tambah beliau. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan